Secara purata, 20 orang hilang nyawa setiap hari sepanjang tahun lalu akibat kemalangan jalan raya. Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Polis Di Raja Malaysia (PDRM), terdapat sebanyak 7,152 kematian dilaporkan tahun lalu.

Bernama melaporkan, Timbalan Ketua Pengarah, Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Datuk Roslan Eusoff berkata penunggan dan pembonceng motosikal mendahului dalam senarai itu, dengan purata 12 kematian daripada 20 yang terlibat.

“Ini juga menunjukkan penunggan dan pembonceng motosikal menyumbang kepada angka tertinggi kematian dijalan raya, dengan angka 4,485,” jelas beliau. Menurutnya lagi, 82 peratus kemalangan maut dijalan raya adalah disebabkan oleh kecuaian pengguna itu sendiri.

“Kebanyakan kenderaan bertembung sesama sendiri, atau dilanggar dari belakang serta ada yang tergelincir. Jika pengguna mengurangkan kelajuan, kami percaya jumlah kemalangan juga akan dapat dikurangkan,” tambah beliau lagi.