Hari ini, Honda Malaysia telah meraikan kejayaan mencatatkan pengeluaran yang ke-600,000 unit bagi unit pemasangan tempatan (CKD), di kilang pemasangannya di Pegoh, Melaka. Dalam majlis yang sama, Honda Malaysia turut mengumumkan pencapaian jualan 100,000 unit untuk tahun kewangan semasa (1 April 2016 – 31 Mac 2017), biarpun berhadapan dengan situasi pasaran yang cukup mencabar pada tahun lalu.

Pencapaian itu menandakan suku pertama tahun 2017 yang berjaya dan kukuh buat syarikat yang sememangnya terkenal dengan semangat menyahut cabaran serta menetapkan penanda aras dalam industri.

Pengeluaran ke-600,000 unit dicapai dalam tempoh 14 tahun sejak Honda Malaysia memulakan operasi pemasangan tempatan di kilangnya di Pegoh, Melaka. Buat masa sekarang, Honda Malaysia mempunyai dua saluran pengeluaran di kilang ini. Saluran pengeluaran No.1 memulakan operasi pada tahun 2003, manakala saluran pengeluaran No.2 pula memulakan operasi pada tahun 2014.

Kenderaan ke-600,000 unit yang dikeluarkan di saluran pengeluaran No.2 di kilang Pegoh ialah sebuah City 2017, yang baru dilancarkan pada 2 Mac lalu.City merupakan model penyumbang jualan terbesar berikutan penerimaan luar biasa dan sambutan baik oleh rakyat Malaysia, sekali gus menjadikannya peneraju segmen-B untuk dua tahun berturut-turut.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Katsuto Hayashi yang menyampaikan teks ucapan penuh dalam Bahasa Melayu, berkata, “Penambahan saluran pengeluaran No.2 pada tahun 2014 membolehkan Honda Malaysia berkembang pesat. Kami mencapai pengeluaran 300,000 unit dalam masa hanya tiga tahun berbanding 11 tahun untuk mencatat pengeluaran 300,000 unit yang pertama sebelum ini.”

“Saya percaya pencapaian ini diperoleh menerusi strategi yang bagus dan semangat menyahut cabaran yang kuat dalam kalangan ahli keluarga Honda. Dengan kemudahan sedia ada di Kilang Melaka ini, Honda Malaysia memiliki keupayaan tambahan untuk memenuhi tempahan pelanggan serta menghasilkan produk terbaik untuk rakyat Malaysia.”

Melihat akan penerimaan yang amat menggalakkan ini, Honda Malaysia berikrar akan terus menawarkan produk berkualiti serta khidmat selepas jualan yang cemerlang dan melangkaui jangkaan semua pelanggan di Malaysia.

Turut hadir untuk menyaksikan majlis bersejarah itu ialah Naib Presiden Eksekutif, Pegawai Eksekutif dan Pengarah Wakil Honda Motor Co., Ltd., Seiji Kuraishi serta Ketua Pegawai Operasi bagi Operasi Serantau (Asia & Oceania) Honda Motor Co., Ltd. merangkap Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Asian Honda Motor Co., Ltd., Noriaki Abe.

Malah Kuraishi yang pernah memegang jawatan sebagai Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia yang kedua pada tahun 2002 hingga 2005 nyata gembira melihat sumbangan Honda Malaysia. Beliau memberitahu bahawa kebangkitan Honda Malaysia adalah kerana kesungguhan serta pemahaman falsafah, misi dan cara pemikiran Honda oleh kakitangan tempatan.

Malah turut mengesahkan bahawa Honda Malaysia telah mengungguli senarai negara yang mencatat perkongsian pasaran paling tinggi dalam kalangan operasi automobil Honda di seluruh dunia untuk dua bulan pertama tahun 2017.

Pada masa ini, saluran pengeluaran No.1 dan No.2 menghasilkan tujuh model demi memenuhi keperluan pelanggan yang lebih luas berbanding ketika ia bermula dengan hanya empat model iaitu CR-V, City, Civic dan Accord. Pada masa sekarang, model Accord, City, Civic, CR-V, Jazz, HR-V dan BR-V dipasang di kilang Pegoh.

Dilengkapi teknologi canggih, kilang Pegoh dibina dengan kapasiti pengeluaran fleksibel yang mampu menghasilkan pelbagai model pada satu-satu masa bagi memenuhi permintaan pasaran. Saluran pengeluaran yang dibina khas dan perancangan strategik membolehkan Honda Malaysia memendekkan tempoh menunggu bagi pelanggan terutama apabila sesetengah model menerima tempahan secara mendadak.

Sebagai contoh, tempoh menunggu untuk model BR-V kini cuma satu hingga dua bulan sahaja, walaupun ia menerima tempahan hampir 10,000 unit, iaitu 12 kali sasaran jualan bulanannya. Malah secara purata, tempoh menunggu untuk semua model Honda kini adalah sekitar satu hingga dua bulan sahaja.

Antara teknologi terkini yang digunakan di kilang Pegoh termasuklah Mesin Kimpalan Pintar (Smart Welding Machine) automatik untuk menghasilkan kerangka badan bertegaran tinggi dengan menggunakan material berkualiti tinggi. Selain itu, kemudahan mengecat dengan standard antarabangsa yang merangkumi Robot-robot Penyembur (Spray Robots) dan Lapisan Bahagian Bawah Kenderaan (Under Body Coating) yang meningkatkan kualiti cat badan dan memastikan ketebalan lapisan cat yang tepat.

Trek Ujian sejauh 2.1 km pula membolehkan setiap kenderaan yang dikeluarkan menjalani ujian yang teliti bagi memastikan ia memenuhi kualiti dan standard jalan raya Malaysia. Ia mempunyai tujuh jenis corak jalan iaitu hump road, wave road, cobble store road, Belgian road, pothole road, slippery road dan up down road yang sesuai dengan kondisi jalan raya di Malaysia. Dengan kelajuan maksimum 140 km/j bagi kenderaan yang diuji, trek ujian ini menelan kos pembinaan sebanyak RM7.1 juta.

Apa yang membanggakan, kesemua pekerja di kilang ini adalah 100% warga tempatan. Memang tidak dinafikan kejayaan Honda Malaysia pada hari ini adalah turut disumbangkan oleh barisan tenaga kerjanya sendiri yang dilihat begitu komited dan dedikasi dalam menjalankan tugas. Di samping sokongan padu daripada pihak pengedar dan para pelanggan mereka sendiri. Semoga Honda Malaysia kian berkembang dan melakar lebih banyak kejayaan pada masa akan datang.