Januari lalu, kerajaan memaklumkan bahawa undang-undang untuk mengawal selia perkhidmatan perkongsian kenderaan dalam talian seperti Uber dan GrabCar akan dipinda di Parlimen awal Mac. Itu nampaknya tidak berlaku, tetapi sedang dipersiap untuk dibentangkan dalam tempoh minggu hadapan.
Kabinet sepatutnya memberikan persetujuan terhadap pindaan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 dan Akta Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan 1987 seperti dilaporkan oleh The Sun semalam.
Menurut menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri, pindaan itu akan dibentangkan di Dewan Rakyat Selasa hadapan, dan ditamatkan pada penghujung sesi dewan kali ini. “Kami perlu melakukannya dalam sesi ini. Saya percaya kita akan dapat menghabiskan serta meluluskan pindaan tersebut,” ujar beliau.
Menjelaskan kelewatan itu berlaku akibat proses pentadbiran, undang-undang itu nanti akan bertakluk di bawah Akta Pengangkutan Darat. “Langkah menentukan undang-undang terhadap perkhidmatan itu akan memberi kesan positif tidak hanya kepada pemandu, penyedia perkhidmatan dan penumpang, tetapi turut akan dimanfaatkan oleh pengusaha tempatan untuk meneroka industri ini melalui pembangunan sistem ada aplikasi lain nanti,” tambahnya.
Beliau berkata, kerangka dasar berkenaan ditetapkan bagi memastikan penyedia perkhidmatan akan menyediakan servis pada tahap yang akan memberi manfaat kepada penumpang dan pemandu. Nancy turut menjelaskan, langkah itu juga akan memastikan hanya persaingan sihat yang akan berlaku dalam kalangan pemain industri.
Di bawah peraturan baru itu nanti, penyedia perkhidmatan perlu berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Beliau menambah, peraturan tambahan lainnya yang sudah termaktub untuk dipatuhi oleh pemandu teksi akan turut dilaksanakan kepada pemandu perkhidmatan ini. “Ini termasuk kad pengenalan pemandu yang dikeluarkan oleh SPAD, pemeriksaan kenderaan serta penilain oleh pihak berkuasa,” ujarnya.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.