Keputusan DRB-Hicom untuk mencarikan rakan strategik asing (FSP) bagi Proton turut menerima pelbagai anggapan negatif dari segelintir rakyat Malaysia. Termasuk ada yang menganggap langkah tersebut adalah bagi menggadai syarikat Malaysia kepada negara asing.

Hari ini, di Dewan Rakyat, kerajaan menerusi Kementerian Kewangan membuat kenyataan bertulis, menjangkakan penjualan 51% ekuiti Proton ini tidak mendatangkan sebarang kesan buruk.

Menurut laporan Bernama, kenyataan tersebut menyebut usaha sama dengan rakan kongsi strategik mampu meningkatkan keupayaan Proton untuk menghasilkan pelbagai kenderaan dengan harga yang kompetitif dan berteknologi terkini.

Katanya lagi, pengeluaran produk baharu hasil daripada perkongsian strategik dijangka akan meningkatkan produktiviti dan kecekapan pengeluaran kilang.

Secara keseluruhannya, dengan peningkatan jumlah pengeluaran kenderaan dan komponen tempatan, perkongsian ini akan memberikan skala ekonomi dan model perniagaan yang lebih berdaya maju kepada Proton, pembekal dan wakil pengedar di Malaysia.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh kementerian terbabit adalah bagi menjawab soalan Hee Loy Sian (PKR-PJ Selatan) yang meminta Menteri Kewangan menyatakan akibat yang lebih buruk terhadap Proton selepas kesanggupan kerajaan membenarkan pegangan ekuiti 51 peratus kepada pengusaha otomobil negara asing terutama dari negara China.

Kementerian Kewangan turut menyatakan DRB-Hicom selaku pemegang saham tunggal Proton, kini dalam proses penilaian akhir ke atas bidaan yang diterima bagi memastikan pertimbangan sepenuhnya.

Ia juga dianggap mampu memberikan manfaat yang menyeluruh serta dapat diperoleh oleh semua pihak yang berkepentingan, termasuklah pemegang saham, pekerja, rangkaian pembekal dan pengedar serta pengguna dan rakyat Malaysia amnya.