Kita kini sudahpun berada dalam tahun 2017, tentunya bayaran parkir dengan menggunakan kad gores dilihat agak ketinggalan bukan? Justeru, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) kini telah melaksanakan sistem ‘Flexi Parking’ iaitu sistem bayaran tempat letak kereta pintar menggunakan aplikasi telefon mudah alih sebagai kaedah alternatif.
Perkara ini dilaporkan oleh Bernama dan menurut Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad dalam laporan tersebut, sistem itu adalah antara inisiatif pihaknya ke arah penambahbaikan pengurusan tempat letak kereta yang lebih efisien dan sistematik.
“Melalui sistem ini, orang ramai boleh membuat belian kredit secara talian terus melalui perbankan Internet menggunakan telefon pintar sekali gus memudahkan proses pembayaran pengguna tanpa perlu mempamerkan kupon gores atau pas bulanan,” jelasnya dan menyatakan sistem ini telah berjaya menarik sejumlah 6,195 pengguna di bawah kawasan pentadbiran MBSA sejak ia dilaksanakan bermula Januari lalu sehingga kini.
Shahrin turut menyatakan sistem ini juga diwujudkan bagi mengurangkan masalah dan aduan pengguna berkaitan kesukaran mendapatkan kupon, salah menggores kupon serta lambakan buku kupon bagi pengguna. Beliau turut menegaskan sistem itu turut memanfaatkan sepenuhnya penggunaan teknologi telefon pintar bagi memudahkan pengguna dan anggota penguatkuasa selain mempertingkatkan kualiti kecekapan perkhidmatan.
Bagi anda yang mahu menggunakan sistem Flexi Parking ini, aplikasi berkenaan boleh dimuat turun secara percuma di Android Play Store atau Apple Apps Store dan berfungsi secara dwibahasa. Shahrin memberitahu, para pengguna akan diberi makluman peringatan 10 minit awal sebelum tempoh letak kenderaan tamat.
Bagi mereka yang lebih selesa menggunakan sistem kupon gores, anda jangan bimbang kerana servis berkenaan masih lagi ditawarkan buat masa sekarang.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.
Nk tye skit kalau xde kupon… Apakah bukti kmi beli tiket parkir contohnya org yg bekerja mnggunakan kenderaan syarikat untuk mereka membuat tuntutan kepada pihak majikan