Kia Rio Sedan generasi seterusnya muncul di NY

Kia Rio Sedan generasi seterusnya muncul di NY

Model Kia Rio hatchback terkini telah diperkenalkan tahun lalu lagi, semasa Paris Motor Show, tetapi bagi varian sedan, ia baru sahaja muncul. Kereta empat pintu segmen B ini lebih besar dan diperhalusi berbanding sebelum ini dan akan mula dijual di Amerika Syarikat (AS) penghujung tahun ini.

Tentunya kereta ini lebih menarik berbanding sebelum ini, dan ia mempunyai bahagian hadapan yang lebih panjang, garis cermin lebih rata, dek belakang lebih rendah dan badan belakang yang lebih pendek untuk menyumbang kepada perkadaran yang lebih seimbang. Bahagian hadapannya adalah sama dengan versi hatchback, iaitu mempunyai lampu utama memanjang ke belakang yang ditemukan di tengah dengan gril ‘tiger nose‘, dan lampu kabus yang dinaikkan sedikit ke atas.

Di bahagian tepi pula, garis bahu yang lebih tegap membuatkan ia kelihatan seperti lebih panjang, manakala hiasan pada C-pillar membuatkan cerminnya nampak seperti lebih panjang. Pada bahagian belakang terdapat lampu yang berbentuk trapezoid dan kemasan bawah berwarna hitam siap dengan sirip seperti diffuser. Satu kekurangan bagi model yang dipasarkan di AS adalah ia akan menggunakan rim 15 inci, termasuk pada varian EX paling tinggi, sementara di pasaran lain, ada yang menggunakan rim 17 inci.

Kia Rio Sedan generasi seterusnya muncul di NY

Kereta ini bukan setakat ‘nampak’ sahaja lebih panjang dan besar, tetapi dimensinya memang bertambah – 15 mm lebih panjang menjadi 4,384 mm manakala jarak roda pula dipanjangkan 10 mm menjadi 2,581 mm. Ia juga lebih rendah dan lebar, sama seperti versi hatchback.

Di dalam, secara keseluruhannya, Rio Sedan ini sama sahaja dengan versi hatchback, melihatkan penggunaan rekaan bergaris melintang yang menjadikan ia kelihatan seperti lebih luas. Menurut Kia, bahagian dalam ini mempunyai bahan yang lebih berkualiti, manakala ciri ergonomik juga diperbaik. Tempat duduk hadapan direka semula supaya menjadi lebih kurus, tetapi kusyen dan pelapiknya masih empuk untuk mengurangkan kepenatan dalam pemanduan jarak jauh.

Sudah tentu, apabila ia lebih panjang dan lebar, ia juga lebih luas di dalam, dengan Kia mendakwa ia adalah yang terbaik di dalam kelasnya. Kedua-dua penumpang hadapan dan belakang dapat menikmati ruang kaki dan bahu yang lebih luas, dan walaupun kereta ini lebih rendah, penumpang hadapan juga dapat merasa ruang kepala yang lebih luas ini, hasil penggunaan bahan baru pada lapik bumbung. Profail baru bagi panel pintu dan papan pemuka yang direka semula juga turut membantu dalam aspek ini. Bahagian but, walaubagaimanapun masih lagi kecil, iaitu 388 liter – satu liter kurang berbanding sebelum ini.

Kia Rio Sedan generasi seterusnya muncul di NY

Untuk sistem informasi dan hiburan, Rio Sedan ditawarkan di AS dengan fungsi sambungan Bluetooth, enam pembesar suara dan kamera undur, manakala varian EX pula mendapat sistem hiburan UV03 dengan skrin sesentuh terapung tujuh inci dan sambungan Apple CarPlay dan Android Auto.

Untuk aspek keselamatan, Rio datang dengan enam beg udara, ABS, stabilitiy control, hill-start assist, dan juga boleh dipilih dengan autonomous emergency braking (AEB). Kia mensasarkan penarafan keselamatan lima bintang oleh National Highway Traffic Safety Association (NHTSA) dan anugerah Top Safety Pick daripada Insurance Institute of Highway Safety (IIHS).

Kia Rio Sedan generasi seterusnya muncul di NY

2018 Rio

Di AS juga, Rio hanya mendapat satu pilihan enjin, iaitu unit empat silinder 1.6 liter 130 hp/ 161 Nm, dan ia digabungkan dengan pilihan sama ada transmisi automatik ataupun manual untuk menyampaikan kuasa kepada tayar hadapan. Beratnya keseluruhan model sedan ini adalah 1,201 kg untuk model manual dan 1,231 untuk model automatik.

Pada bahagian suspensi terdapat penyerap MacPherson di hadapan sementara di belakang menggunakan torsion beam seperti sebelum ini. Walaupun begitu, geometrinya telah diubah supaya pengendaliannya menjadi lebih lincah dan lebih selesa. Selain itu, tetapan penyerap dan spring juga dirujuk semula. Kereta ini didatangkan secara standard dengan brek cakera 11 inci di hadapan dan brek dram di belakang. Varian EX pula mendapat brek cakera 10.3 inci di belakang.

Untuk Malaysia, Kia Rio hatchback dirancang tiba di Malaysia dalam suku kedua tahun ini, dengan menggunakan enjin sama iaitu unit 1.4 liter dan transmisi automatik empat kelajuan. Bagi model sedan, ketibaannya masih belum diberitahu.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 

Comments

  • Mohd Fadil bin Hasan on Oct 16, 2017 at 7:16 am

    Adakah bila tiba di Malaysia, kapasiti enjin akan berubah daripada 1.4 kepada 1.6?
    Untuk pasaran US, gear masih kekal 4 kelajuan?

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0
 

Add a comment

required

required