Sarawak bakal menerima sistem Transit Aliran Ringan (LRT) yang menghubungkan bahagian Kuching, Samarahan dan Serian menjelang tahun 2020 ini.

Menurut Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Abang Johari Abang Openg, sistem LRT itu sedang dikaji untuk dimasukkan dalam pelan pengangkutan awam bagi menangani kesesakan trafik di ketiga-tiga bahagian ketika jumlah penduduk mereka mencapai satu juta, laporan Bernama.

“Kami sedang mengkaji laluan. Kajian itu akan mengambil masa enam bulan, selepas itu kami akan mendapat teknologi dan rakan kongsi yang betul. Disebabkan kami sudah mempunyai tenaga daripada empangan Bakun, kami boleh mengguna teknologi kereta api elektrik”, katanya.

Beliau turut berkata projek LRT itu akan menggabungkan teknologi terkini dengan pencemaran karbon yang kurang.

“Kami akan menimbang untuk meneruskan projek LRT itu ke bahagian lain apabila ekonomi mereka berdaya maju. Ini bermakna apabila kawasan luar bandar itu maju dari segi ekonomi pertanian moden dan dengan teknologi maklumat dan komunikasi telah mencapai dua Terabit sesaat bagi kelajuan Internet, tambahnya.