Mercedes-Benz Malaysia (MBM) telah mengumumkan pembukaan Autohaus baharunya yang dimiliki oleh Hap Seng Star (HSS). Autohaus yang beroperasi sebagai pusat 3S penuh berkenaan merupakan yang kelapan milik HSS, terletak di Jalan Batu Nilam, Bandar Bukit Tinggi, Klang – dibina bagi memenuhi keperluan pelanggan MBM di kawasan Klang dan Banting.

Dibangunkan dengan pelaburan sebanyak RM3.6 juta, Autohaus HSS ini menerapkan elemen penting dari Mercedes-Benz Presentation System II (MPS II). Fasiliti ini beroperasi dengan 29 orang staff, dengan bilik pameran yang mampu menempatkan enam kenderaan pada satu-satu masa. Manakala pusat servis selepas jualannya pula yang terletak di Jalan Permata 2A/KS9, Taman Perindustrian Air Hitam, mempunyai lapan ruang servis dan mampu memberikan perkhidmatan kepada 450 kenderaan sebulan.

Autohaus baharu ini merupakan sebahagian dari pelaburan HSS bernilai RM184 juta untuk mendekatkan mereka ke pelanggan di seluruh negara. Selain dari HSS Bukit Tinggi ini, syarikat tersebut turut memiliki Autohaus Mercedes-Benz lain yang terletak di sekitar Lembah Klang iaitu HSS Kinrara, HSS Balakong, HSS Kuala Lumpur (Jalan Sultan Ismail) dan HSS Jalan Ipoh.

Hap Seng Star juga mempunyai dua lagi Autohaus di bahagian Borneo yang terletak di Kuching dan Miri, Sarawak serta di Kota Kinabalu, Sabah.