Memantapkan lagi rangkaian jualannya, Perodua telah melantik pengedar baharu, MD World Sdn Bhd, dengan membuka pusat jualan ke-199 yang terletak di Kota Semarahan, Kuching, Sarawak.

Bilik pameran ini dirasmikan oleh Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg, dan majlis ini turut dihadiri oleh Pengarah Urusan dan pemilik MD Motors Freddy Numan Lawan.

Menurut Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn Bhd Dato’ Dr. Zahari Husin, Malaysia Timur merupakan pasaran yang penting bagi Perodua.

“Terdapat banyak potensi yang belum diusahakan di sini terutamanya dengan semua projek pembangunan yang dirancang oleh kerajaan negeri dan persekutuan. Dengan peluang memperluaskan pasaran ke bahagian ini, kami berharap ia mampu meningkatkan angka jualan kami,” ujar Zahari.

Menurut rekod, pada suku pertama 2017, Perodua berjaya menjual sejumlah 50,300 unit kenderaannya, dengan 5% daripadanya datang dari Malaysia Timur.

Freddy pula berkata, “Kami berbesar hati dapat menjadi sebahagian daripada keluarga Perodua dan berharap dapat memperkembangkan bilik pameran ini menjadi pusat 3S sepenuhnya menjelang akhir tahun hadapan.”