Shell Malaysia hari ini telah melancarkan bahan api baharu yang meliputi semua jenis produk petrol dan dieselnya. Masih lagi mengekalkan nama asal iaitu FuelSave 95 (RON 95), V-Power 97 (RON 97), V-Power Racing, FuelSave Diesel (diesel Euro 2M) dan juga FuelSave Diesel Euro 5, kesemua produk ini kini menampilkan formulasi baharu digelar Teknologi Dynaflex.

Menurut Shell, formulasi Dynaflex baharu berkenaan di dakwa mampu membersihkan karbon deposit yang melekat pada komponen-komponen dalaman enjin yang terlibat dengan proses pembakaran seperti injap kemasukan dan juga penyuntik bahan api, seterusnya mengekalkan keadaan enjin dalam kondisi paling efisien.

Selain dari itu, Dynaflex juga memberikan lebih perlindungan pada enjin dengan menawarkan geseran yang kurang pada komponen dalaman, khususnya pada bahagian-bahagian seperti omboh dan dinding blok.

Shell turut mendakwa formulasi pada V-Power 97 dan V-Power Racing mampu mengurangkan daya geseran tiga-kali ganda berbanding FuelSave 95, manakala Dynaflex yang terdapat pada semua barisan petrol baharunya adalah 20% lebih molekul pembersih berbanding formulasi terdahulu.

Untuk diesel pula, Shell menyatakan formulasi Dynaflex yang disertakan turut membawa molekul yang mampu membersihkan kotoran bagi mengekalkan kebersihan serta kecekapan enjin.

“Bahan bakar Shell baharu kami disasarkan untuk membersihkan dan memelihara enjin kereta, menjadikan ia lebih efsien untuk membantu anda menikmati perjalanan di atas jalan raya. Kami percaya ia bukan hanya kemana anda pergi, tetapi juga bagaimana anda pergi turut menjadi keutamaan. Kami berharap pengguna kenderaan akan mendapat faedah dari bahan api baharu kami, yang telah ditingkat taraf dengan teknologi Dynaflex terbaharu kami,” kata pengarah urusan Shell Malaysia Trading dan Shell Timur, Shairan Huzani Husain.

Barisan bahan api dengan Dynaflex ini kini boleh didapati di semua stesen minyak Shell seluruh negara. Ia juga kini telah diedarkan kepada pelanggan industri menerusi saluran perniagaan-kepada-perniagaan serta pemilik-pemilik komersial berskala besar.