Nampak gayanya tahun ini Mercedes-Benz Malaysia (MBM) kian rancak membawa masuk model terbaharu ke pasaran tempatan. Hari ini sahaja, sebanyak enam model telah diperkenalkan. Antaranya Mercedes-AMG E43 4Matic, yang kini menjadi varian tertinggi bagi barisan W213 E-Class, mendahului model E 300.

Ia ditawarkan pada harga atas jalan RM658,888 tanpa insurans. MBM turut menawarkan pembiayaan kewangan khas iaitu bayaran bulanan bagi model ini sebanyak RM6,588, berbanding pembiayaan kewangan klasik yang biasa ditawarkan iaitu pada RM8,219.

Di bawah hudnya, E 43 didatangkan dengan enjin petrol 3.0 liter biturbo V6 (sama seperti model AMG 43 lain yang turut dilancarkan hari ini), dengan padanan transmisi automatik 9G-Tronic sembilan-kelajuan digandingkan bersama sistem pacuan semua-roda AMG Performance 4Matic (pecahan tork 31:69).

Enjin berkenaan mampu menghamburkan kuasa sehingga 401 hp pada 6,000 rpm dan tork 520 Nm antara 2,500 hingga 5,000 rpm, peningkatan 156 hp dan 150 Nm berbanding unit 2.0 liter turbo pada model E 300. Malah penjana kuasa ini mampu memacu jentera tersebut dari 0-100 km/j dalam hanya 4.6 saat (1.6 saat lebih pantas berbanding E 300) dan berkeupayaan mencapai kelajuan maksimum sehingga 250 km/j.

Menambahkan lagi kemantapan pengendaliannya, E 43 dipadankan dengan talaan versi sport iaitu suspensi udara Air Body Control dan roda aloi-ringan AMG 19-inci, serta cakera brek AMG untuk hadapan (cakera solid di belakang).

Seperti mana model E 300, E 43 juga ditampilkan dengan suis Dynamic Select pada bahagian konsol tengah yang membenarkan pemandunya memilih mod pemanduan seperti Eco, Comfort, Sport, Sport Plus dan Individual. Setiap mod mengolah kunci parameter termasuk respon enjin, transmisi, suspensi dan stereng.

Melihat akan imej yang diperagakan, E 43 dilengkapi dengan kit luaran AMG Line, dengan bampar dan skirt sisi yang sporty ditampilkan secara standard. Walau bagaimana pun, versi sedan menerima gril radiator berlian palang-tunggal dengan chrome pin berbanding dua-palang, berlian yang kurang seperti mana pada E 63 4Matic+.

Pada bahagian belakangnya, ia dilengkapi dengan boot lid spoiler, tip ekzos berkembar AMG dan kit penggayaan Night Package. Malah ia juga menggunakan kekemasan hitam berkilat pada bahagian bampar, perumah cermin sisi, tip ekzos dan belt line.

Menjengah bahagian dalamnya pula, kabin E 34 menerima sentuhan kulit upholstery Artico/Dinamica gentian mikro berwarna hitam dengan jahitan kontra merah pada kebanyakan permukaan termasuk papan pemuka dan panel pintu. Malah turut menampilkan roda stereng sport AMG balutan kulit Nappa, tali pinggang keledar designo berwarna merah, pedal sport dan Race Timer secara standard.

Lain-lain elemen yang turut disertakan termasuklah sistem kawalan suhu Thermotronic dwi-zon, windscreen cockpit dengan dua skrin 12.3-inci, bumbung panoramik, pengecas telefon bimbit tanpa wayar, lampu utama Multibeam LED, Keyless-GO, akses but bebas-tangan, kamera 360-darjah, sistem bunyi sekeliling Burmester dengan 13-pembesar suara dan paparan unit utama.

Selain itu, ia turut didatangkan dengan sistem infotainmen COMAND Online dengan sambungan Apple CarPlay dan Android Auto, Touch Control dengan sentuhan-sensitif pada roda stereng dan COMAND Touchpad Controller.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai perincian dan spesifikasi model ini, sila layari CarBase.my.