Mercedes-Benz Malaysia (MBM) meraikan ulangtahun ke-50 AMG dengan melancarkan enam model “43” baharu di pasaran tempatan. Antara yang dilancarkan hari ini ialah Mercedes-AMG C 43, yang diposisikan di antara model C 350 e plug-in hybrid berharga RM300k dan AMG C 63 S berharga RM700k.

Ditawarkan dengan dua versi; sedan dan coupe, C 43 dijual pada harga RM499,888 untuk sedan empat-pintu dan RM548,888 bagi coupe dua-pintu. Kedua-duanya adalah harga atas jalan tanpa insurans, termasuk waranti empat-tahun, dengan perbatuan tanpa had. Ia ditawarkan pada harga atas jalan RM658,888 tanpa insurans.

MBM turut menawarkan pembiayaan kewangan khas iaitu bayaran bulanan bagi varian coupe sebanyak RM5,488, berbanding pembiayaan kewangan klasik yang biasa ditawarkan iaitu pada RM6,486. Manakala bagi varian sedan pula, ditawarkan sebanyak RM4,998 bagi pembiayaan kewangan dari MBM, dan pilihan bayaran bulanan klasik sebanyak RM,6576.

Penjana kuasa bagi kedua-dua varian ini ialah enjin M276 3.0 liter V6 dengan dua pengecas turbo yang mampu menghamburkan sehingga 362 hp dari 5,500 hingga 6,000 rpm dan tork 520 Nm antara 2,000 dan 4,200 rpm.

Ia turut dipadankan dengan transmisi automatik 9G-Tronic sembilan-kelajuan, yang mampu memberikan penukaran gear dan kuasa pendikitan yang lebih pantas dengan adanya mod Sport dan Sport Plus. Ia juga menerima renjatan pencucuhan dan suntikan yang membolehkan penghantaran kepada penukaran gear yang lebih cepat serta mencetuskan bunyi yang lebih agresif apabila gear ditingkatkan.

Walau bagaimana pun mod Eco dan Comfort yang turut ditampilkan turut memberikan penukaran gear yang pantas, disamping lebih menjimatkan penggunaan bahan api. Malah mode Edo juga berfungsi apabila kenderaan dipacu antara 60 dna 160 km/j. Mod transmisi manual juga berfungsi dalam keadaan peningkatan gear tertentu, walau ketika dalam redline.

Pacuan model ini lebih tegar dengan kuasa cengkaman optimum dibantu oleh sistem pemanduan empat-roda AMG Performance 4Matic, bersama agihan tork 31:69 hadapan-ke-belakang. Malah kedua-dua sedan dan coupe juga boleh mencecah pacuan antara 0-100 km/j dalam hanya 4.7 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum pada 250 km/j.

Talaan suspensi juga telah disemak semula dengan menampilkan steering knuckle dan load-bearing front joints khas bagi memberikan komponen lebih ketegaran terutamanya ketika pendikitan dan cengkaman, di samping mengurangkan olengan badan serta memberikan pengendalian yang lebih neutral. Bukan itu sahaja, stereng sport nisbah-pembolehubah sensitif-kelajuan turut dipadankan pada model ini.

Semua model C 43 yang dijual di Malaysia turut menerima peredam adaptif AMG Ride Control secara standard, dengan pelarasan Comfort, Sport dan Sport Plus. Ia juga disepadankan dengan mod pemanduan Eco, Comfort, Sport, Sport Plus dan Individual pada sistem AMG Dynamic Select, yang turut melaras respon enjin, transmisi dan stereng.

Bagi memantapkan lagi penggayaan model ini, ia turut didatangkan dengan pakej AMG Line pada bampar dan skirt sisi yang sporty, dengan C 43 menerima sentuhan yang lebih berlainan berbanding C 250 dan C 350 e AMG Line. Ini termasuklah gril berlian dengan logo AMG bersama chrome pins, perumah cermin sisi hitam, roda aloi lima-jejari dua-tona AMG 19-inci, bootlid lip spoiler dan tip ekzos berkembar.

Bagi pasaran tempatan, ia turut didatangkan dengan Night Package ditambah kekemasan hitam berkilat pada splitter hadapan, cermin sisi, diffuser belakang dan paip ekzos. Bukan itu sahaja, ia turut diperagakan dengan lampu utama LED Intelligent Light System dengan Adaptive Highbeam Assist Plus serta sistem ekzos AMG Performance.

Menjengah bahagian kabinnya, ia ditampilkan dengan roda stereng rata-di bawah, tempat duduk AMG Performance dengan tambahan sokongan sisi, upholsteri kulit tiruan Artico dan gentian mikro Dinamica bersama jahitan merah. Selain itu, ia turut dipadankan dengan kluster instrumen AMG, papan pemuka dan kekemasan pintu balutan Artico, tali pinggang keledar designo berwarna merah dan kekemasan aluminium.

Lain-lain kit standard yang turut disertakan termasuklah kemasukan tanpa kunci, butang penghidup enjin, bumbung matahari panoramik, pencahayaan ambien, pelarasan tempat duduk berkuasa dengan empat-cara sokongan belakang (tiada memori), kawalan suhu auto dwi-zon Thermatic, Park Pilot, kamera 360-darjah, pintu but belakang berkuasa dengan bukaan bebas-tangan, sistem infotainmen COMAND Online bersama paparan 8.4-inci dan sistem bunyi sekeliling Burmester bersama 13-pemnbesar suara.

Bagi varian sedan, ia turut ditambah dengan tirai matahari manual untuk cermin sisi belakang dan tirai-berkuasa untuk cermin belakang, dan kawalan suhu tiga-zon Thermotronic.

Untuk mengetahui perincian dan spesifasi lanjut mengenai semua model C-Class AMG, sila layari CarBase.my.

Mercedes-Benz AMG C43 4Matic Coupe

Mercedes-Benz AMG C43 4Matic Sedan