Tayar berprestasi Goodyear Eagle Asymmetric 3 kini secara rasmi telah dilancarkan di Malaysia, menawarkan tahap prestasi yang dipertingkatkan menerusi pelbagai teknologi baharu.
Antara ciri yang ditampilkan pada tayar baharu ini adalah teknologi Grip Booster yang mampu memberikan kawalan cengkaman yang lebih baik, menerusi penggunaan kompaun baharu serta resin pelekat. Teknologi Active Braking juga ditampilkan yang meningkatkan permukaan bersentuh dan cengkaman ketika membrek, memberikan jarak brek yang lebih pendek.
Selain itu, tayar ini juga menampilkan struktur yang diperkuat bagi memberikan pengendalian, prestasi membelok, penggunaan bunga dan juga kecekapan bahan api yang lebih baik.
Menurut Ujian Tanda Aras yang dilakukan oleh TUV Sud, Eagle F1 Asymmetric 3 mampu memberikan jarak brek 2.6 meter lebih pendek pada jalan basah dan 1.3 meter lebih pendek pada jalan kering berbanding prestasi purata tiga jenama peneraju lain.
Ujian berkenaan juga mendedahkan tayar baharu Goodyear ini mempunyai kadar rintangan golekan 10.9% berbanding purata pada tiga pencabarnya yang lain, meletakkan ia pada kedudukan kedua untuk rintangan golekan diantara jenama-jenama lain.
Ujian yang dilakukan oleh organisasi bebas DEKRA telah menunjukkan bahawa peningkatan yang diberikan pada siri Eagle ini menawarkan jarak perbatuan 11,500 km lebih jauh (atau +31% lebih tahan lama) berbanding purata dari tiga jenama peneraju lain.
Untuk pasaran Malaysia, Eagle F1 Asymmetric 3 ditawarkan untuk roda bersaiz 17-inci hingga 20-inci, dengan pilihan 34 saiz berbeza. Harga bermula dari RM668 hingga RM1,820 seunit, bergantung pada saiz.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.