Kawasaki Motors (Malaysia) Sdn Bhd (KMSB) hari ini mengadakan siri jelajah tunggang uji yang terbuka kepada umum, bertempat di Bulatan Bazarena, Stadium Melawati, Shah Alam dari pukul 10 pagi hingga 6 petang. Dikenali sebagai siri Jelajah “Always Close To You”, ia menampilkan barisan model 2017 jenama itu.

Ketika acara ini berlangsung, Kawasaki akan mempamerkan model-model seperti Kawasaki Z650 ABS, Ninja 650 ABS, Z900 ABS dan Versys-X 250. Pengunjung berpeluang untuk menunggang uji semua model berkenaan untuk mengetahui pengalaman sebenar bersama barisan jentera terbaru keluaran syarikat itu.

Laluan khas juga telah direka untuk memberi peluang kepada penunggang merasakan aspek-aspek berlainan yang ada jenteranya, termasuk ketangkasan tunggangan dan keupayaan membelok. Pemilik Kawasaki sedia ada juga boleh membawa motosikal mereka untuk pemeriksaan dan servis – dengan caj buruh percuma. Ia akan diselia oleh juruteknik profesional dari Kawasaki Exclusive Service Centre (KESC) Glenmarie.

Acara ini turut disertai oleh beberapa pihak lain seperti Alpinestar Malaysia, Shoei Malaysia, serta Bridgestone yang turut akan mempamerkan barisan produk masing-masing. Selain itu, AEON Credit Services dan Tokio Marine Insurance akan turut berada di sana dengan tawaran pembiayaan kepada yang berminat.