Pengedar rasmi motosikal Ducati di Malaysia, Next Bike Sdn Bhd mengumumkan sebuah program baru, Ducati Smart Service untuk manfaat pelanggan dan pemiliknya di sini.

Bermula dari bulan Mei 2017, dengan pembelian terbaru motosikal Ducati, pelanggan layak menikmati servis percuma selama dua tahun, merangkumi alat ganti dan minyak pelincir atau sehingga 30,000 km termasuk servis DESMO (yang mana datang dahulu).

Program terbaru ini tertakluk kepada terma dan syarat. Ini secara langsung akan mengurangkan lagi kos pemilikan dan memberikan penjimatan kepada pengguna, termasuk jaminan dua tahun tanpa had perbatuan sedia ada.

Kempen baru ini juga adalah sebahagian daripada usaha untuk meningkatkan permintaan pasaran terhadap enam model motosikal 2017 yang bakal diperkenalkan nanti. Ini termasuk model-model seperti Multistrada 950, Monster 797, Supersport and Supersport S, Scrambler Café Racer dan Scrambler Desert Sled.

Kempen ini bagaimanapun hanya sah dan terhad kepada rangkaian pengedar rasmi dan pusat servisnya di seluruh negara. Ia juga bertujuan untuk memberikan pengalaman pemilikan pada tahap yang lebih baik kepada pelanggan, dari aspek layanan premium serta kepuasan kepada pemilik.