Ketika Peugeot memperkenalkan model 308 facelift awal bulan ini, syarikat itu tidak menyertakan sekali varian GTI. Bagaimanapun, varian berkenaan nampaknya akan membuat penampilan globalnya tidak lama lagi, setelah imejnya dikeluarkan di akaun Twitter Peugeot Sepanyol, sebelum diturunkan semula.

Dari segi perubahan, bahagian luaran 308 GTI nampak sama dengan versi biasa. Seperti yang dapat dilihat dari gambar ini, gril depannya lebih menegak berbanding model yang sebelumnya, manakala pelapik di sebelah bawah menampilkan bahagian kemasukan udara yang lebih menonjol. Rekaan bonet juga baru, untuk memadankan rekaan pada gril berkenaan.

Cat dwi-tona dibawakan kembali bagi model ini. Walaupun bahagian belakangnya tidak dapt dilihat, boleh dijangkakan ia turut akan menerima beberapa peningkatan, seperti lampu belakang LED dan bampar dengan rekaan baru.

Dengan barisan 308 standard menerima peningkatan dari aspek enjin, versi GTI juga berkemungkinan akan menerima kuasa yang lebih tinggi dari enjin 1.6 liter turbo, empat-silinder yang digunakan. Ketika ini, ia menjana 270 hp dan 330 Nm, dengan padanan kotak gear manual enam-kelajuan dan limited-slip differential Torsen.

Ada juga kemungkinan model in ditawarkan sebagai 308 R Hybrid. Unit konsepnya, yang dipertonton pada Pameran Permotoran Shanghai 2015 mempunyai janaan kuasa keseluruhan 500 hp dan 730 Nm – dari gandingan enjin 1.6 liter THP serta motor elektrik.