Lamborghini Centenario akhirnya tiba di Asia, dan unit pertama model edisi terhad ini sedang dalam perjalanan ke Hong Kong. Bagi menandakan ketibaannya, Lamborghini Hong Kong menyiarkan satu set gambar model tersebut di laman Facebook mereka.

Lamborghini Centenario LP 770-4 dihasilkan sebagai sebuah model untuk menyambut kelahiran pengasasnya iaitu Ferrucio Lamborghini pada tahun 1916, dan hanya 20 unit dihasilkan dalam bentuk coupe dan roadster. Semuanya sudah ada penama.

Kereta ini membuat penampilan pertama semasa pameran automotif Geneva tahun lepas, dan ia dihasilkan berasaskan daripada Aventador. Pelbagai ubah suai dilakukan pada kenderaan ini, termasuk antaranya lampu hadapan baru, skup di atas hud dan bampar yang direka semula. Pada bahagian sisi, salur udara telah dijadikan lebih besar dan keseluruhan bahagian belakang juga adalah baru.

Centenario yang dihantar kepada pembeli di Hong Kong ini menggunakan warna kelabu dan hitam, lengkap bersama garisan kuning, sama seperti model yang ditunjukkan tahun lepas. Banyak barang gentian karbon digunakan pada kenderaan daripada luar sehinggalah dalam.

Untuk enjin, unit 6.5 liter V12 N/A daripada Aventador digunakan, tetapi ia telah dinaik taraf sehingga boleh menghasilkan 770 hp, iaitu 70 hp lebih berbanding Aventador biasa, seterusnya menjadikan ia kereta Lamborghini produksi paling berkuasa. Ia boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 2.8 saat dan pergi ke kelajuan maksimum 350 km/j.

Enjin ini dipadankan dengan kotak gear Independent Shifting Rod (ISR), dan sistem pacuan empat roda. Kereta ini juga adalah 5 kg lebih ringan berbanding Avenador SV, iaitu hanya 1,520 kg, dan turut mendapat sistem stereng roda belakang baru.