Peminat kereta dua pintu coupe kini mempunyai satu lagi model bersesuaian untuk memuaskan mereka iaitu BMW 8 Series. Kereta ini hanya akan ditampilkan secara rasmi esok di pameran Concorso d’Eleganza Villa d’Este, tetapi imejnya telah tersebar lebih awal.

BMW sebelum ini hanya mengeluarkan teaser bagi 8 Series Concept, yang menunjukkan bayangan profail garis luar coupe tersebut. Ia menampilkan bahagian hadapan dan bumbung yang rendah, lengkung roda yang membonjol keluar dan bahagian belakang yang beralun.

Muncung kenderaan ini diapit dengan lampu utama yang nipis, dan bahagian bonetnya cukup tirus. Jika diperhatikan, ia mungkin seperti membawa sedikit gaya daripada Aston Martin, tetapi bahagian belakangnya masih lagi unik, bersama lampu belakang berbentuk L, salur udara besar dan muncung ekzos berkembar.

Seperti juga model 5 dan 7 Series, 8 Series ini diasaskan daripada platform Cluster Architecture (CLAR), yang menggunakan bahan-bahan serba ringan seperti aluminium, magnesium dan pada 7 Series – gentian karbon untuk mengurangkan berat. Barisan 8 Series dijangka ditawarkan dengan pilihan enjin seperti 7 Series, termasuk enam silinder sebaris, V8 dan V12 turbocharge.

Akan terdapat juga mode prestasi tinggi M8, yang masih dikuasakan oleh enjin sama seperti M5 F90 akan datang – V8 4.4 liter twin-turbo yang mampu menghasilkan lebih 600 hp, dan kuasa disampaikan kepada semua roda melalui sistem xDrive BMW yang lebih maju. Transmisi yang dijangka digunakan adalah automatik lapan kelajuan, berbanding klac berkembar M DCT.