Mula beroperasi sebulan lebih awal daripada jangkaaannya, Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) Fasa 2 yang menghubungkan Jalan Tun Razak ke Jalan Tuanku Abdul Halim dan Karak mula dibuka untuk pengguna jalan raya pada 23 Mei lalu.

Menurut Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof, pembukaan laluan fasa kedua itu akan membantu menyelesaikan kesesakan yang berlaku di Bulatan Pahang, laporan Bernama.

“Kadar kesesakan yang akan dikurangkan apabila siap keseluruhan kelak adalah lebih kurang 40 peratus,” katanya selepas merasmikan pembukaan Lebuhraya DUKE Fasa 2.

Fadillah berkata DUKE Fasa 2 melibatkan kos sebanyak RM1.2 bilion terdiri daripada dua sambungan lebuh raya iaitu Tun Razak Link sepanjang sembilan kilometer dan Sri Damansara Link (tujuh kilometer).

“Secara keseluruhan kami jangka siap sepenuhnya antara Ogos atau September ini. Ia kini 97% siap,” katanya.

Projek DUKE Fasa 2 dikendalikan Konsortium Lebuhraya Utara-Timur (KL) Sdn Bhd dengan kerjasama Ekovest.