Dengan persetujuan yang baru saja dimeterai untuk menjalin kerjasama dengan Geely dari China, Proton berdepan dengan satu persoalan lagi; apa akan jadi dengan persefahaman dan kontrak usahasama yang mana syarikat kenderaan nasional itu sudah pun memberi komitmennya, bersama pengeluar-pengeluar kenderaan lain sebelum ini?
Dengan Geely akan bertindak selaku penggerak utama bagi aspek pengeluaran kenderaan dan Proton akan memberi fokus kepada rangkaian pengedaran untuk pasaran tempatan, apa nasib usahasama yang sudah dipersetujui lebih awal itu?
Sebagai contoh, apa yang dimaksudkan di sini ialah, sebelum Geely, mengambil kira tempoh masa terdekat ini, Proton juga mempunyai kontrak kerjasama misalnya dengan Honda, bagi pengeluaran model Perdana terkini yang mengambil asasnya daripada model Accord generasi kelapan.
Begitu juga dengan Suzuki; Proton hujung tahun lalu memperkenalkan MPV Ertiga, yang menggunakan model keluaran Suzuki dengan nama sama. Begitu juga dengan penyerapan operasi Suzuki di Malaysia, yang merangkumi hal-hal rangkaian jualan dan khidmat lepas jualan. Kerjasama berkenaan dimeterai ketika Tun Dr Mahathir masih lagi bertindak sebagai Penasihat Proton.
Begitu juga pada tahun 2015. Proton dan Lotus Group ketika itu dilaporkan akan menjalinkan kerjasama dengan Goldstar Heavy Industrial, yang ketika itu ingin mengembangkan lagi barisan kenderaan penumpang di bawah jenama Lotus untuk pasaran China. Ini termasuk untuk mengeluarkan kenderaan serta enjin di sana.
Dengan Geely kini menjadi sebahagian daripada naratif kerjasama ini, apa hala tuju usahasama yang terdahulu? Menurut Pengarah Urusan Kumpulan DRB-Hicom, Datuk Seri Syed Faisal Albar, oleh kerana semua perjanjian dan kerjasama itu berlaku sebelum keputusan untuk melantik Geely sebagai rakan strategik (FSP) bagi Proton, semua kontrak terdahulu akan dihormati dan dipatuhi.
“Buat masa ini, semua kontrak dan perjanjian yang sudah disepakati sebelum ini akan tetapi dipatuhi, dan diteruskan seperti yang dipersetujui,” jelas beliau. Apa pula kesudahan bagi sebuah model SUV antara Proton dan Suzuki, seperti yang diura-urakan sebelum ini?
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.