????????????????????????????????????

Sempena musim cuti Hari Raya Aidilfitri tahun ini yang sememangnya bakal menyaksikan ramai warga kota akan pulang ke kampung halaman menggunakan kenderaan persendirian, Proton mengambil inisiatif untuk menawarkan pemeriksaan 20-mata percuma di semua pusat servis bertauliahnya bermula bulan Jun. Khidmat pemeriksaan percuma ini juga turut diadakan dengan kerjasama Petronas menerusi kempen Petronas Coffee Break yang dijalankan pada stesen-stesen terpilih jenama petroleum nasional berkenaan.

Menurut Proton, Litrak iaitu syarikat pengendali Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) turut meminta khidmat mereka untuk mewujudkan stesen pemeriksaan bergerak di lebuhraya berkenaan. Pemeriksaan percuma tersebut akan diadakan di kawasan R&R Petaling Jaya arah Sunway dari Puchong, bermula 20 hingga 22 Jun, dari 10 pagi hingga 5 petang.

Pasukan pemeriksaan percuma Proton ini juga turut akan memberikan perkhidmatan mereka di lima stesen Petronas di Kedah, Terengganu, Pahang, Kelantan dan Negeri Sembilan, dari 21 hingga 23 Jun, bermula 10 pagi hingga 5 petang.

Antara perkara yang akan diperiksa menerusi kempen yang diadakan ini adalah termasuk keadaan dan tekanan angin tayar, sistem brek, operasi sistem brek dan klac, suspensi, bateri, bilah pengelap cermin, tali pemacu sawat, suis-suis dan juga tahap bendalir seperti minyak enjin, bendalir brek, bendalir stereng kuasa, coolant dan cecair pembersih cermin hadapan.