Sempena Aidilfitri tahun ini, ANIH Berhad, syarikat konsesi yang mengendalikan Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT 1) akan menawarkan diskaun tol sebanyak 10% pada 25 Jun ini bermula jam 12 tengahmalam sehingga 11.59 malam bagi pengguna yang menggunakan kad Touch ‘n Go atau Smart Tag.

Malah ANIH menjangkakan kira-kira 2.2 juta kenderaan akan menggunakan KLK sempena Aidilfitri ini dan daripada jumlah berkenaan, 850,000 kenderaan akan tertumpu di LPT 1. Ia adalah anggaran kenderaan menggunakan KLK dan LPT1 untuk tempoh 15 hari Op Selamat bermula 18 Jun hingga 2 Julai ini.

Pengarah Eksekutif ANIH Berhad, Datuk Nik Fauzi Nik Hussein, berkata purata harian kenderaan yang menggunakan KLK dan LPT1 pada waktu puncak dijangka meningkat 73.8% kepada 245,000 berbanding 141,000 pada hari biasa.

Dijangkakan waktu puncak musim perayaan pada 22 hingga 24 Jun (kenderaan menghala Pantai Timur) dan 27 hingga 28 Jun dan 1 hingga 2 Julai (kenderaan menghala Kuala Lumpur). Bagi menghadapi situasi ini, syarikat konsesi kepada KLK dan LPT1 ini telah mengatur pelbagai strategi dalam memantapkan operasi dan tahap perkhidmatan untuk membantu pengguna menikmati perjalanan selesa.

Nik Fauzi berkata, antara langkah diambil ialah menambah bilangan jurutol sebanyak 17% kepada 272 orang berbanding 233 orang sebelum ini bagi membantu mempercepatkan transaksi pembayaran tol secara elektronik dan tunai di semua plaza tol.

“Seramai 121 anggota pasukan bahagian trafik yang merangkumi LPT-Ronda, Pusat Kawalan Trafik (TCC), pengendali jentera berat dan trak penunda akan bertugas selama 24 jam di lokasi strategik bagi menyalur sokongan bantuan kecemasan tambahan kepada pengguna. Kita juga menempatkan 176 anggota RELA di semua plaza tol dan kawasan rehat,” katanya.

Bagi memudahkan pengguna, ANIH turut menyediakan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) sebagai rujukan pengguna untuk merancang perjalanan ke Pantai Timur pada musim perayaan ini.