Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof telah mengumumkan had laju jalan Persekutuan diturunkan sebanyak 10 kilometer sejam (km/j) kepada 80km/j mulai 18 Jun hingga 2 Julai sempena Aidilfitri ini.

Katanya, bagi jalan negeri, kementerian meminta kerjasama pihak berkuasa negeri untuk menurunkan had laju daripada 80km/j kepada 70km/j, laporan Bernama.

“Selain itu, kerja-kerja pembinaan dan penyenggaraan bagi jalan Persekutuan dan jalan Negeri serta lebuh raya akan dihentikan mulai 18 Jun hingga 2 Julai semasa musim perayaan bagi memastikan kelancaran trafik. Namun, kerja-kerja kecemasan dan kritikal adalah dikecualikan,” katanya.

Fadillah berkata JKR dan LLM juga menubuhkan pasukan peronda bagi memantau kemalangan dan sebarang kerosakan jalan selain memastikan kerja-kerja kecemasan dilakukan dengan segera tanpa gangguan lalu lintas di jalan-jalan Persekutuan.

Dalam masa yang sama, beliau turut berkata, sebanyak 15 kawasan persimpangan di seluruh negara dikenal pasti untuk ditambah baik bagi mengurangkan risiko kemalangan.

“Pada masa sama, kementerian dalam proses membangunkan Pelan Tindakan Dasar Pembinaan Jalan Raya dan Lebuh Raya bagi mencapai objektif peningkatan kecekapan dan keberkesanan penyampaian perkhidmatan awam,” katanya.

Lima belas persimpangan itu ialah satu masing-masing di Negeri Sembilan, Johor, Melaka, Selangor, Terengganu, Pahang, Kelantan, Perlis, Perak, Pulau Pinang dan Labuan serta dua masing-masing di Kedah dan Sabah selain tiga di Sarawak.

Beliau berkata sebanyak 21 projek jalan melibatkan kerja-kerja pembinaan jalan baharu dan menaik taraf jalan sedia ada diluluskan untuk dilaksanakan tahun ini membabitkan peruntukan sebanyak RM4.896 bilion

Fadillah turut menitipkan nasihat agar semua pengguna jalan raya supaya memandu dengan berhemah dan mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya.