Selepas beberapa hari imejnya bocor diinternet, BMW X3 G01 akhirnya didedahkan secara rasmi – gambar serta spesifikasinya. Model crossover kompak BMW ini diberikan reka bentuk baru, barisan enjin baru serta mewarisi teknologi yang ada pada model-model yang lebih besar dan maju dalam barisan kenderaan pengeluarnya.

Reka bentuk luaran mungkin kelihatan tidak banyak perubahan, namun pemerhatian lebih teliti terhadapnya akan menyingkap perbezaan ketara yang diberikan. Lengkung bonet depan kini lebih tirus ke depan, menjadikan kedudukan kidney grill berada lebih rendah. Gril itu juga tidak lagi bersambung pada bahagian lampu utama – lampu dari unit LED pula menggunakan gelung DRL yang sama ada pada 5 Series G30.

Rekaan bampar juga diberikan sentuhan baru agar ia nampak lebih menonjol. Lampu kabus kini menggunakan LED dalam rekaan yang lebih nipis dan disekalikan pada bahagian dalam bukaan ruang Air Curtain. Di belakang, lampu bentuk L tiga dimensi yang sama seperti pada model 6 Series Gran Turismo digunakan – termasuk penggunaan dua hujung ekzos untuk pertama kali.

BMW X3 G01 ini ditawarkan dalam kemasan xLine standard dan M Sport yang lebih menawan. Tambahan terbaru pula melibatkan Luxury Line dengan perincian krom dan panel pelindung bampar dwi-tona. Sementara itu, versi M Sport menerima sistem brek sports dengan kaliper biru. Pilihan saiz rim yang ditawarkan ialah 18 inci dan 21 inci.

Ruang dalaman juga banyak meminjam perincian dari model 5 Series. Papan pemuka dengan profil lebih rendah, paparan tengah bersendiri, stereng dengan ciri multi-fungsi serta pilihan paparan meter 12.3 inci melengkapinya.

Dengan jarak antara roda 5 cm lebih panjang, ruang yang ada juga bertambah, terutama untuk penumpang di belakang. Ruang but untuk barangan kini 550 liter, dan boleh ditambah sehingga 1,600 liter dengan nisbah lipatan tempat duduk belakang 40:20:40. Ruang simpanan turut tersedia di bawah lantai but.

Sistem iDrive dengan antaramuka baru yang ada padanya diambil dari model 5 Series. Bagi sistem tunjuk arah Profesional pula, ia datang dengan skrin sentuh 10.2 inci dengan kawalan gerak-geri. Lagi pilihan terbaru ialah kawalan suhu tiga zon, tempat duduk dengan aliran udara, BMW Display Key, lampu ambient, Ambient Air Fragrance, bumbung panoramic yang luas serta cermin depan dengan ciri akustik standard.

Pilihan enjin yang ada pula ialah tiga enjin petrol dan tiga enjin diesel – dengan semuanya digandingkan dengan kotak gear automatik lapan-kelajuan. Ini termasuk xDrive20i (turut ada varian pacuan roda belakang sDrive20i untuk pasaran luar Eropah), dengan janaan kuasa 184 hp/290 Nm dari enjin 2.0 liter empat-silinder petrol.

Enjin sama digunakan untuk varian xDrive30i, tetapi menghasilkan 252 hp dan 350 Nm tork. Selain itu, varian xDrive20d, dengan enjin 2.0 liter turbo juga ada – menghasilkan 190 hp dan 400 Nm. Enjin 3.0 liter enam-silinder sebaris juga boleh didapati pada varian xDrive30d, menjana sebanyak 265 hp dan 620 Nm tork.

Buat pertama kali, X3 menerima varian M Performance seperti yang ditawarkan pada model X4 semasa. Dikenali dengan nama M40i, ia menggunakan enjin 3.0 liter turbo petrol enam-silinder sebaris yang menghasilkan 360 hp dan 500 Nm. Ini membolehkannya mencapai kelajuan 0-100 km/j dalam masa 4.8 saat.

Semua varian X3 baru ini menerima sistem suspensi MacPherson strut untuk bahagian hadapan, serta suspensi five-link di belakang. Ia juga 55 kg lebih ringan – hasil dari penggunaan bearing aluminum dan anti-roll bars yang lebih ringan serta bahagian yang diperbuat daripada bahan komposit plastik.

BMW X3 M40i