Selepas beberapa waktu dilancarkan untuk pasaran tempatan di sini, Honda Jazz facelift 2017 hari ini diperkenalkan pula untuk pasaran domestik di Jepun – dengan nama Honda Fit. Ditawarkan dalam versi petrol dan hibrid seperti sebelumnya, ia juga menampilkan pembaharuan reka bentuk serta pertambahan teknologi yang melengkapinya.

Sama seperti model Jazz di Malaysia, unit untuk pasaran di sana juga menempatkan pembaharuan bagi wajah depannya; gril dengan rekaan baru dengan kemasan krom, serta bampar yang turut diberi sentuhan baru. Begitu juga dengan bampar belakang yang turut menerima sedikit perbezaan reka bentuk.

Rim juga menerapkan rekaan baru, walaupun masih di dalam saiz yang sama bagi rim 15 inci yang ada sebagai pilihan. Rim 16 inci pula hadir dengan kemasan dwi-tona hitam berkilat dan krom.

Bagi varian S dan RS, penampilannya lebih garang. Rekaan bampar yang agresif, kit sisi badan serta spoiler belakang yang lebih besar antara ciri yang membezakannya. Penggunaan lampu LED sepenuhnya juga dapat dilihat pada model Fit ini – dari bahagian depan hinggalah ke lampu belakang.

Beberapa warna baru turut diperkenalkan; ini termasuk Rouge Amethyst Metallic, Sky Ride Blue Metallic, Premium Yellow Pearl II, Lunar Silver Metallic dan Shining Grey Metallic.

Bahagian dalam memperlihatkan beberapa perbezaan. Hanya model hibrid yang menerima skim warna dalaman Premium Brown pada tempat duduk, stereng dan panel pintu. Turut melengkapi model ini ialah sistem tunjuk arah InterNavi dan sambungan Apple CarPlay serta Android Auto.

Seperti sebelumnya, dua jenis enjin petrol dan satu model hibrid ditawarkan. Model asas dilengkapi dengan enjin 1.3 liter kitaran Atkinson DOHC i-VTEC empat-silinder yang menghasilkan 100 PS pada 6,000 rpm dan 119 Nm pada 5,000 rpm. Unit ini mampu memberikan bacaan penggunaan minyak 24.6 km bagi setiap liter mengikut kitaran JC08 Jepun.

Enjin 1.5 liter petrol yang lebih besar pula menghasilkan 132 PS pada 6,000 rpm dan 155 Nm pada 4,600 rpm – mampu memberikan bacaan 22.2 km bagi setiap liter. Bagi varian hibrid pula, ia menggunakan enjin 1.5 liter petrol (110 PS/134 Nm) yang digandingkan dengan bateri lithium-ion dan motor elektrik disepadukan operasinya bersama sistem transmisi klac berkembar tujuh-kelajuan.

Keseluruhannya, ia menjana 137 PS dan 170 Nm. Penggunaan petrol pula pada tahap 37.2 km bagi setiap liter – lebih tinggi daripada 36.4 km bagi setiap liter yang dicapai sebelumnya. Bagi model hibrid, unit yang dijual untuk pasaran Malaysia dan Jepun berkongsi unit kuasa dan talaan yang sama.

Dari segi keselamatan, Fit kini hadir dengan pakej keselamatan Honda Sensing. Ini termasuk di dalamnya ciri-ciri seperti berikut; Adaptive Cruise Control (ACC), Collision Mitigation Braking System (CMBS), Lane Keeping Assist System (LKAS), Lane Departure Warning (LDW), Road Departure Warning (RDW) dan Road Departure Mitigation (RDM)

Bagi harga pula, ia bermula dari 1,428,840 yen (RM54,800) bagi varian 13G F dengan kotak gear manual lima-kelajuan atau CVT hingga 1,653,480 yen (RM63,400) bagi varian 13G L dengan Honda Sensing dan CVT. Varian 13G S pula dijual pada harga 1,790,640 yen (RM68,700).

Sementara itu, varian 15 XL dijual pada harga 1,853,280 yen (RM71,100), manakala varian 15 RS pula pada harga 2,015,280 yen (RM77,300), bergantung kepada transmisi manual atau CVT. Bagi versi hibrid, ia berharga 1,699,920 yen (RM65,200), dengan harga bagi varian F sedikit lebih tinggi; 1,815,480 yen (RM69,700).

Hybrid L dengan Honda Sensing pula dijual pada harga 2,079,000 yen (RM79,800), manakala spesifikasi paling tinggi, Hybrid S pada harga 2,205,360 yen (RM84,600). Sistem pacuan semua roda ditawarkan dengan tambahan sebanyak 194,400 yen (RM7,500).