Porsche 911 GT2 RS – 911 paling berkuasa, 700 hp

Porsche 911 GT2 RS – 911 paling berkuasa, 700 hp

Porsche telah mengeluarkan 911 versi yang lebih berkuasa semasa acara Goodwood Festival of Speed yang berlangsung hujung minggu lalu. Model yang dinamakan sebagai 911 GT2 RS ini dibina dengan formula yang didapati daripada model sebelum ini tetapi ditambah dengan lebih kuasa.

Keseluruhannya, 700 hp dan 750 Nm tork boleh didapati daripada enjin enam silinder 3.8 liter twin-turbo yang digunakan, dan enjin ini asasnya diambil daripada model Turbo S, tetapi diletakkan dengan pengecas turbo yang lebih besar dan sistem penyejukan tambahan. Sistem ini boleh menyemburkan air untuk menyejukkan udara pada suhu tinggi, seperti M4 GTS. Hasilnya, kuasa 911 GT2 RS adalah 80 hp dan 50 Nm lebih berbanding model 997 yang menggunakan enjin 3.6 liter.

Semua kuasa ini disampaikan kepada tayar belakang melalui transmisi klac berkembar PDK tujuh kelajuan, membolehkan ia memecut dari 0 ke 100 km/j dalam masa hanya 2.8 saat – 0.1 saat lebih pantas berbanding Turbo S pacuan semua roda. Laju maksimumnya adalah 340 km/j.

Bagi membantu cengkaman atas jalan, GT2 RS dilengkapi dengan rear-wheel steering, dan dipasang kepada casis inspirasi kereta lumba. Tayar yang digunakan pula adalah bersaiz 20 inci di hadapan dan 21 inci di belakang, dengan masing-masing mempunyai tayar prestasi Ultra High Performance (UHP) 265/35 dan 325/30. Di sebalik rim tersebut terdapat brek seramik karbon.

Sepadan dengan prestasi yang mampu dihasilkan, penampilan luar kereta ini juga dijadikan ganas, dengan terdapat bukaan udara serta splitter yang besar di hadapan, dan lubang udara NACA di atas bonet. Pada bahagian belakang, penutup enjin menampilkan dua salur udara, yang bertindak menghasilkan kesan ram-air, bersama dua paip besar yang pergi ke sistem ekzos titanium – 7 kg lebih ringan berbanding model Turbo.

Banyak barangan gentian karbon yang diberikan secara standard pada kenderaan ini termasuk bonet, fender, pelapik cermin sisi, salur udara di tepi dan beberapa bahagian lain di belakang. Bumbung pula dibuat daripada magnesium. Untuk mengurangkan lagi berat, pembeli ditawarkan dengan Weissach Package yang menambah bumbung gentian karbon, anti-roll bar, coupling rod di semua empat bucu, rim magnesium serta jalur di tengah. Pakej ini 30 kg lebih ringan.

Di dalam, kebanyakan bahagian dibalut dengan kulit berwarna hitam, bersama Alcantara merah (termasuk bumbung), bersama kemasan gentian karbon. Kereta ini juga didatangkan dengan roda stereng sport bersama penukar gear di stereng, serta aplikasi Porsche Track Precision yang boleh memaparkan data pemanduan pada telefon pintar. Turut boleh dipilih adalah Chrono Package.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required