Pihak kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) sedang berunding dengan Kementerian Kewangan serta pengusaha stesen minyak bagi mendapatkan kaedah baharu berhubung mekanisme penetapan harga bahan api utama di negara ini.

Menurut menterinya Datuk Seri Hamzah Zainuddin, disebabkan harga bahan api terus menurun dalam beberapa minggu ini, para pengusaha stesen minyak menghadapi tekanan.

“Justeru, saya telah berbincang dengan Menteri Kewangan II, Datuk Johari Abdul Ghani serta pengusaha berkenaan. InsyaAllah, menjelang minggu depan, akan terdapat sesuatu untuk setiap pihak,” ujarnya seperti mana yang dilaporkan oleh Bernama.

Katanya lagi, kaedah ini akan ditentukan agar ia dapat membantu rakyat dan serentak itu menunjukkan bahawa industri berkenaan boleh diliberalkan dan mungkin pada masa hadapan, penetapan harga secara harian mungkin akan dilaksanakan.

Penetapan harga mingguan petrol dan diesel oleh kerajaan pertama kali diperkenalkan pada 29 Mac dan pada setiap Rabu, pengumuman harga baharu minyak dibuat. Harga itu berkuat kuasa selepas tengah malam. Mekanisme ini membolehkan pengguna menikmati harga runcit yang lebih stabil berbanding penetapan harga bulanan.