Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) telah mengeluarkan kenyataan penuh bagi Ops Hari Raya Aidilfitri (OPS HRA 2017) pada 18 Jun 2017 dan berakhir pada 02 Julai 2017 yang lepas. Kejayaan Ops kali ini adalah hasil kerjasama secara National Blue Ocean Strategy atau NBOS dengan lapan agensi iaitu PLUS, LLM, AADK, PDRM, SPAD, JAS, JIM, MIROS dan JKJR.

Ops HRA kali ini melibatkan anggota seramai 3128 pegawai dan anggota serta 815 aset penguatkuasa dengan beberapa pendekatan baharu telah digunakan oleh JPJ dalam usaha untuk mengurangkan kematian disebabkan kemalangan jalan raya. Di antaranya, pemeriksaan bas di depoh sebelum tempoh ops iaitu (10-17 Jun), pemeriksaan bas dan pemandu di terminal (18 Jun-2 Julai), penguatkuasaan Khas Motosikal serentak seluruh Malaysia (22 & 23 Julai dan 1 & 2 Jun), penyamaran anggota sebagai penumpang bas. dan penambahan pemasangan tujuh kamera AwAS di tujuh lokasi kerap kemalangan.

Selain itu, pemantauan dan penguatkuasaan secara rondaan di lebuhraya dan 102 kawasan kerap kemalangan di jalan persekutuan seluruh Malaysia turut dilakukan.

Tujuh lokasi yang kerap berlaku kemalangan

Menurut JPJ lagi, bilangan kenderaan yang telah diperiksa adalah sebanyak 105,817 buah pada OPS HRA 2017 berbanding 90,568 buah pada OPS HRA 2016 dengan peningkatan sebanyak 16.8%.

Manakala bilangan kenderaan yang diambil tindakan sebanyak 21,889 unit dengan pecahan kenderaan iaitu kereta sebanyak 7,536 unit, motosikal (7,050 unit), lori (6,827 unit) dan bas (476 unit).

Malah sepanjang operasi ini, JPJ telah mengambil tindakan yang lebih tegas ke atas tujuh kesalahan utama dengan mendakwa semua kes-kes ini di mahkamah. Kaedah ini menunjukkan kesan yang positif dalam mendidik pemandu supaya mematuhi peraturan dan pemerhatian yang dijalankan terdapat segelintir sahaja pemandu yang melakukan kesalahan khasnya memandu menggunakan lorong kecemasan.

Di mana, sebanyak 422 kes melibatkan tidak memakai tali pinggang keledar, gagal patuhi lampu isyarat merah (364), memandu di lorong kecemasan (211), menggunakan telefon bimbit sewaktu memandu (256), memandu di lorong kanan secara berterusan (75), memotong di garisan berkembar (217) dan memotong di sebelah kiri (235), menjadikan kesemua saman yang dikeluarkan adalah sebanyak 1,780 yang telah pun dikenakan tindakan mahkamah.

JPJ turut melakukan penyamaran dalam 884 buah bas di seluruh Malaysia dan telah mengeluarkan saman sebanyak 612 notis saman terhadap pemandu dan pengusaha bas. Hasil ops kali ini mendapati sebanyak 168 kes kesalahan berhubung dengan ketiadaan pemandu kedua. Sebanyak 12,025 bas telah diperiksa di depoh dan terminal dan 12 orang pemandu gagal daripada 7,067 pemandu yang menjalani pemeriksaan saringan urin yang dilakukan oleh AADK.

Manakala sebanyak 35,367 motosikal telah pun diperiksa dan sebanyak 3,585 buah motosikal telah di ambil tindakan manakala jumlah motosikal yang telah disita sebanyak 55 buah.

Sepanjang tempoh Ops tersebut itu juga, di 21 lokasi pemasangan kamera AwAS sebanyak 13,806 saman telah dikeluarkan bagi kesalahan memandu melebihi had laju dan melanggar lampu isyarat merah.

Manakala sepertimana yang telah dimaklumkan oleh pihak PDRM jumlah kemalangan meningkat sebanyak 7% iaitu 20,982 kes kemalangan pada tahun 2016 kepada 22,402 kes kemalangan pada tahun 2017. Walau bagaimanapun, kematian akibat kemalangan telah menurun sebanyak 12% iaitu daripada 273 orang pada tahun 2016 kepada 239 orang pada tahun 2017.

Penunggang dan pembonceng motosikal adalah merupakan penyumbang utama kepada kematian akibat kemalangan jalan raya iaitu sebanyak 170 kes pada tahun 2017 berbanding 186 kes pada tahun 2016 iaitu penurunan sebanyak 8.6%.