Pihak kerajaan sedang mencari kaedah yang boleh digunakan untuk melaksanakan sistem integrasi tiket yang menggunakan satu tiket bagi perkhidmatan rel di negara ini.

Menurut Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai, sistem integrasi tiket tersebut melibatkan semua perkhidmatan rel termasuk KTM Komuter, sistem Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT), projek Rel Berkelajuan Tinggi (HSR) Malaysia-Singapura dan projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) menghubungkan Pantai Timur dengan Lembah Klang.

Katanya, dua pengendali terbesar perkhidmatan rel Keretapi Tanah Melayu Berjad (KTMB), yang mengendalikan perkhidmatan Komuter dan pengendali LRT, Prasarana Malaysia berhad (Prasarana) sudah mengadakan perbincangan ke arah mewujudkan sistem tersebut, laporan Bernama.

Bagaimanapun, beliau berkata, ada beberapa isu perlu diselesaikan terlebih dahulu berikutan kedua-dua pengendali tersebut mempunyai sistem tiket yang berlainan.

“Sistem in saling lengkap antara perkhidmatan rel dan mudah untuk penumpang melakukan perjalanan dengan menggunakan hanya satu tiket,” katanya kepada pemberita hari ini.

Sistem tersebut merupakan inisiatif Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) sebagai salah satu transformasi kerajaan memperbaiki kecekapan pengangkutan awam darat, sekali gus meningkatkan keselesaan pengguna.