Dengan penuh rasa tanggungjawab terhadap masyarakat di negara ini, Isuzu Malaysia berbesar hati menyumbangkan sebuah trak Isuzu N-Series 5,000kg untuk kegunaan Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) baru-baru ini. Ia adalah kegunaan pada waktu yang diperlukan, apatah lagi ketika musim tengkujuh yang akan melanda pada hujung tahun, termasuk banjir dan bencana alam yang lain.

Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia, Kenji Matsuoka telah menyerahkan kunci trak Isuzu kepada Setiausaha Agung Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia, Dato’ Sayed A. Rahman Sayed Mohd dan berharap sumbangan itu dapat meningkatkan lagi kecekapan persatuan tersebut untuk membantu mereka yang memerlukannya.

“Persediaan yang mantap boleh memberi kesan besar ketika berdepan dengan bencana alam. Dengan menyumbang sebuah trak yang efisien dan antara yang paling boleh dipercayai di pasaran sekarang kepada PBSM, kami dari Isuzu berharap dapat menyumbangkan sesuatu kepada persatuan sukarela dalam memberi initiatif terbaik untuk membantu mangsa bencana alam,” kata Matsuoka.

Trak lori Isuzu N-Series 5,000kg daripada Isuzu Malaysia itu dilengkapi badan kotak beraluminium yang disumbangkan oleh Sri Hoong Huat Auto Trading Sdn Bhd (LEW’s), iaitu salah sebuah syarikat pembina badan trak utama di Malaysia.

Dengan adanya trak tersebut, pasukan sukarelawan dari persatuan berkenaan boleh menggunakannya untuk operasi menyelamat, memindahkan barang, mengagihkan barang-barang keperluan dan bekalan lain di mana perlu dilakukan secara sistematik dan pantas.