Motor Imaga Malaysia, selaku pengedar eksklusif Subaru di negara ini, telah mengumumkan seramai 10 peserta bakal mewakili Malaysia di dalam pertandingan MediaCorp Subaru Car Challenge 2017 – The Asian Face-Off di Singapura pada 28 hingga 31 Oktober ini.

10 individu yang terpilih itu adalah antara peserta yang menyertai Subaru Palm Challenge 2017 yang berlangsung kelmarin di The Curve, Mutiara Damansara. Di mana mereka berjaya berentap antara satu sama lain selama lapan jam sembilan minit iaitu yang bertahan paling lama meletakkan tangan pada Subaru XV yang disediakan. Mereka hanya dibenarkan berehat selama lima minit bagi setiap enam jam untuk makan atau pun ke tandas.

Mereka yang bakal mewakili negara ialah Mohd Khairul Quayum Bin Mohamad Yusoff, Yeong Shoa Yei, Tan Hong Sheng, Mohd Faizal Bin Mohd Nor, Mohammad Jazmi Bin Azman, Tan Chuan Kok, Lai Zhu Chuan, Sim Chong Yie, Kartigesu A/L Suppiah dan Chang Wei Khang. Mereka ini akan berentap dengan 390 peserta lain dari negara Kemboja, China, Hong Kong, Filipina, Singapura, Taiwan, Thailand dan Vietnam tidak lama lagi. Mereka berpeluang memenangi hadiah utama iaitu Subaru XV 2.0i-P baharu.

Selain itu, bagi kategori Pemenang Negara iaitu peserta yang mewakili setiap negara turut akan berentap sesama sendiri dan akan membawa pulang wang tunai sebagai hadiah. Manakala Pemenang Asia pula juga bakal membawa pulang wang tunai di mana pemenang akan ditentukan dengan cara yang sama, iaitu siapa yang paling lama dapat bertahan, terbuka untuk semua negara kecuali Singapura. Bagi Pasukan Negara pula akan ditentukan berdasarkan pasukan yang mewakili negara masing-masing dengan cara yang sama dan markah ditentukan dengan pengiraan masa bagi semua peserta.