Awal tahun ini, Perancis telah mengumumkan bahawa negara itu telah menetapkan untuk melarang penjualan kenderaan petrol dan diesel menjelang 2040. Kini, Britain pula menyatakan hasrat untuk mengikut langkah yang sama, lapor akhbar Guardian.

Keputusan itu, yang diumumkan melalui sebuah kenyataan yang diterbitkan oleh jabatan alam sekitar di sana (DEFRA), khabarnya tidak akan melibatkan kenderaan hibrid dan plug-in hybrid, dan cuma akan melibatkan kenderaan dengan enjin konvensional sahaja.

Prihatin tentang tahap nitrogen oksida yang semakin meningkat disebabkan oleh pertambahan jumlah kenderaan telah membawa kepada keputusan itu. Menurut pemerintah kerajaan British, ia langkah yang perlu kerana kesan udara yang tercemar kini mula memberi kesan terhadap kesihatan orang awam.

Menuju ke arah jangka masa dua dekad yang ditetapkan, kerajaan British menyatakan mereka bersungguh untuk mengambil tindakan tegas dalam masa yang paling singkat, dengan beberapa langkah baru akan dilaksanakan.

Antara perancangannya termasuk memlihat semula kepada bas dan perkhidmatan awam yang lain, memetakan semula laluan jalan raya dan bulatan, bonggol had laju serta memprogramkan semula lampu isyarat. Walaupun masih belum diperincikan, skim pelupusan juga dijangka turut akan disertakan di dalam perancangan ini.

Laporan itu juga menambah, dana sebanyak £255 juta akan diperuntukkan untuk mempercepat pembangunan setempat yang dirancang itu; jumlah itu adalah sebahagian daripada £3 bilion untuk usaha membersihkan kembali udara di negara itu.

Pakej kualiti udara itu termasuk £1 bilion untuk kenderaan beremisi rendah, termasuk pelaburan hampir £100 juta bagi prasarana mengecas di negara itu. Wang juga akan disalurkan ke arah mewujudkan teksi dan bas dengan emisi rendah. Langkah sama juga turut diumumkan oleh beberapa negara lain, termasuk Norway.