Mercedes-Benz Malaysia telah mengumumkan penawaran varian baharu bagi model S-Class, S 400 h AMG Line, bagi pasaran Malaysia. Ia adalah bagi memenuhi permintaan para pelanggan yang mahukan kereta sedan mewah yang sesuai dengan personaliti dan citarasa tinggi.

S 400 h AMG Line baharu ini ditawarkan dengan sisi yang sporty dengan bancuhan elemen mewah dan sofistikated. Dengan penggayaan AMG, rim aloi ringan AMG bersaiz 19-inci dan juga dua corong paip ekzos, membuatkan penampilannya cukup dinamik. Ditambah pula dengan gerbang roda yang lebih besar untuk roda AMG menyerlahkan lagi sifat sporty varian ini. Bukan itu sahaja, kehadiran cakera brek berliang turut menambahkan lagi prestasi model ini.

Elemen lain yang masih dikekalkan termasuklah lampu utama Projektor LED Adaptif dengan High Beam Assist serta lampu nyalaan siang LED. Malahan di belakangnya juga dipadankan dengan lampu kombinasi LED bersama lampu kabus.

Menjengah bahagian kabinnya pula, sentuhan harmoni dan elegan masih dikekalkan. Namun ia diserlahkan bersama elemen AMG yang cukup bergaya, ini termasuklah roda stereng sport pelbagai fungsi AMG, kekemasan kayuan berwarna hitam berkilat serta pedal sport AMG.

Walau bagaimana pun, elemen dalaman lain masih dikekalkan, termasuklah tempat duduk balutan kulit dengan 12-cara pelarasan bersama fungsi memori dan haba pemanas, tempat duduk belakang yang turut boleh dilaraskan dan didatangkan dengan fungsi memori dan urut, Ottoman Base untuk tempat duduk kiri, serta kawalan COMAND tanpa wayar.

Selain itu, ia turut didatangkan dengan butang penghidup enjin, fungsi start/stop, kawalan kelajuan, brek parkir elektronik, pedal penukar gear, kawalan pendingin hawa dwi-zone untuk tempat duduk hadapan dan belakang, bumbung matahari panoramik, pencahayaan ambien, map lights, keseluruhan empat soket kuasa dan perehat tangan di tengah untuk tempat duduk belakang.

Bagi hiburan, ia ditampilkan dengan COMAND Online NGT 5 12.3-inci bersama SPLITVIEW, COMAND Controller, Touchpad, sistem bunyi Burmester dengan 13 pembesar suara, sistem hiburan individu bagi tempat duduk belakang, termasuk dua monitor 10-inci.

Untuk aspek keselamatan, ia dilengkapi dengan 10 beg udara, ASB dengan EBD, kamera undur, kawalan kestabilan, ISOFIX, sistem brek sendiri, bantuan kekal lorong, pengesan parkir hadapan dan belakang, amaran perlanggaran dan sistem bantuan titik buta.

Bahagian mekanikalnya juga tiada perubahan, Mercedes-Benz S 400 h AMG Line ini dijanakan oleh enjin 3.5 liter V6 enam-silinder dengan padanan transmisi 7G-TRONIC. Ia mampu menghamburkan kuasa sehingga 306 hp pada 6,500 rpm dan tork 370 Nm antara 3,500 hingga 5,250 rpm. Bersama motor elektrik, tork mampu ditambah sebanyak 250 Nm. Model ini juga mampu dipacu dari 0-100 km/j dalam 6.8 saat dan kelajuan maksimum mencapai 250 km/j. Penggunaan bahan apinya pula sekitar 6.3 liter bagi setiap kilometer.

Harga atas jalan (tanpa insurans) yang ditawarkan bagi S 400 h AMG Line baharu ini ialah RM598,888. Ia turut didatangkan dengan waranti pengeluar selama dua-tahun bersama perbatuan tanpa terhad serta waranti lanjutan juga dua tahun/tanpa perbatuan terhad.