Motosikal kapcai popular di Malaysia iaitu Yamaha Y135LC kini dijual dengan grafik baru untuk tahun 2017, dalam pilihan warna utama biru, merah, hitam dan kuning. Ia sudah boleh mula didapatkan di wakil pengedar motosikal Yamaha bermula hari ini, pada harga cadangan termasuk GST RM7,167.72.

Yamaha Y135LC dikuasakan oleh enjin satu silinder 134 cc dan dipadankan dengan kotak gear empat kelajuan tanpa klac tangan, mampu menghasilkan 11.98 hp pada 8,500 rpm dan 11.79 Nm tork pada 5,500 rpm. Enjin ini masih lagi menggunakan sistem penyampaian bahan api karburetor.

Pada bahagian roda hadapan, terdapat rim 17 inci, tayar 70/90 dan brek cakera manakala di belakang terdapat rim 17 inci, tayar 80/90 dan brek jenis dram. Suspensi hadapan menggunakan fork teleskopik manakala belakang pula adalah jenis monoshock.