Menjelang tahun 2019, semua perkhidmatan pengangkutan awam di Lembah Klang disasarkan bakal melaksanakan Sistem Pembayaran Tanpa Tunai Bersepadu (ICPS).

Menurut Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai, ia akan memudahkan warga kota melakukan perjalanan di sekitar Lembah Klang, laporan Bernama.

“Ia dijangka dilaksanakan sepenuhnya di perkhidmatan LRT, MRT, Monorail, KTM Komuter dan bas dalam bandar,” katanya ketika menjawab soalan Che Mohamad Zulkifly Jusoh (BN-Setiu) pada Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Mohamad Zulkifly ingin tahu perancangan kementerian untuk memastikan pembangunan projek pengangkutan awam dapat menawarkan perkhidmatan lancar dan mampu dibayar pengguna.