Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) telah mengumumkan kempen panggilan balik bagi model Pajero Exceed buatan tahun 2010-2014 bagi menggantikan inflator beg udara pemandu. Sebanyak 128 unit model terbabit terlibat dengan panggilan balik di negara ini.

Menurut MMM, beg udara terbabit mungkin akan mengeluarkan serpihan logam ketika ia terbuka dan boleh menyebabkan kecederaan terhadap pemandu. Kempen ini adalah sejajar dengan panggilan balik beg udara buatan Takata di seluruh dunia.

“Keselamatan adalah keutamaan kami, justeru inisiatif ini diambil bagi memastikan tahap keselamatan pelanggan lebih terjamin dan bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku. Usaha ini dilakukan bagi menggantikan inflator beg udara bahagian pemandu yang terjejas dengan inflator yang telah ditambahbaik,” ujar Tomoyuki Shinnishi, CEO MMM.

MMM juga akan melakukan perkara yang sama iaitu panggilan balik ke atas model ASX (tahun buatan 2010-2015) dan Pajero Sport (2010-2016). Ia adalah untuk menukarkan gas spring yang terjejas yang boleh mengakibatkan penyalut anti-hakis berkurangan.

Kempen lain yang turut akan dilakukan juga bagi model ASX bagi menggantikan motor bilah pengelap cermin yang boleh mengakibatkan hakisan dalam bahagian motor tersebut yang menyebabkan ia berhenti berfungsi.

MMM akan mengeluarkan surat makluman kepada semua pemilik kenderaan Mitsubishi yang terbabit dan kos penggantian komponen akan ditanggung sepenuhnya oleh syarikat berkenaan.

Dalam masa yang sama, MMM turut menggesa agar semua pelanggan yang terbabit segera membuat temujanji di mana-mana pusat servis Mitsubishi Motors bertauliah untuk menggantikan komponen yang dinyatakan. Untuk maklumat lanjut, sila layari www.mitsubishi-motors.com.my atau hubungi khidmat pelanggan Mitsubishi di talian 1-800-18-6611 (Isnin hingga Jumaat, 9 pagi-5 petang).