Berjaya Assets Bhd (BAssets) dilaporkan sedang berbincang dengan beberapa jenama automotif Asia untuk mengeluarkan dan memasang kenderaan di bawah unit Oriental Assemblers Sdn.Bhd yang turut dinaunginya.

Menurut laporan yang disiarkan oleh The Star, pengarah eksekutif BAssets Kog Huey Min berkata, “Kami akan mengumumkan perancangan untuk Oriental Assemblers dalam tempoh enam bulan.”

Pada Jun 2016, Oriental Holdings Bhd mengumumkan untuk melepaskan unit pemasangan kenderaan dan pengeluaran komponen automotif kepada Berjaya Assets Bhd dengan nilai RM32.5 juta. Menerusi pengumuman yang dilakukan, pelupusan pegangan bagi Oriental Assemblers ini adalah bagi penjajaran semula strategi teras syarikat bagi mengemaskinikan perniagaan mereka serta keluar daripada operasi pemasangan automotif.

Manakala BAseets berkata perolehan ini akan memberikan laluan kepada syarikat tersebut untuk meningkatkan lagi posisinya di Johor dengan memperoleh perniagaan pemasangan kenderaan bersama sebidang tanah dengan pajakan seluas 14.74 ekar.