Dua skuter baru tiba dalam pasaran Malaysia setelah dilancarkan secara rasmi oleh Naza Premira Sdn Bhd iaitu Vespa S 125 i-GET dan Piaggio Medley S 150 ABS. Harga termasuk GST bagi motosikal ini adalah masing-masing RM12,603 dan RM18,327. Kedua-duanya juga mempunyai rekaan retro dan dikuasakan enjin suntikan bahan api i-GET.

Bagi Piaggio Medley S 150 ABS, enjinnya adalah berkapasiti 149 cc, empat strok dengan sistem SOHC dan berkelulusan Euro 4, dan ia boleh menghasilkan kuasa sebanyak 15 hp pada 7,750 rpm dan tork 14.4 Nm pada 6,400 rpm. Transmisi yang digunakan adalah jenis automatik CVT dengan klac centrifugal kering. Enjin ini juga mempunyai sistem start/stop.

Pada bahagian hadapan Piaggio Medley S 150 ABS terdapat brek cakera 260 mm, fork teleskopik dan rim 16 inci manakala di belakang terdapat brek cakera 240 mm, dua penyerap hentak di belakang dan rim 14 inci. Kapasiti tangki minyak yang disediakan adalah tujuh liter manakala ruang simpanan di bawah tempat duduk pula boleh menempatkan dua helmet. Sistem ABS yang disediakan pada motosikal ini adalah daripada jenis two-channel.

Vespa S 125 i-GET pula dikuasakan oleh enjin satu silinder empat strok suntikan bahan api 124.5 cc suntikan bahan api, dipadankan dengan transmisi automatik CVT dan mampu menghasilkan 10.1 hp pada 7,600 rpm dan 10.2 Nm tork pada 6,000 rpm.

Pada bahagian hadapan motosikal ini terdapat rim 11 inci, penyerap hentak tunggal sebelah dan brek cakera 200 mm manakala di belakang menggunakan rim 10 inci, penyerap hentak tunggal dengan pelarasan pra beban dan cakera brek 110 mm. Tangki minyaknya boleh menampung tujuh liter bahan api dan di bawah tempat duduk boleh menyimpan dua helmet half-face.

Vespa S 125 i-GET ditawarkan dalam pilihan empat warna iaitu Verde Matt, Rosso Matt, Grigio Titanio dan Arancio Taormina manakala Piaggio Medley S 150 ABS ditawarkan dalam pilihan tiga warna iaitu merah, hitam dan biru. Kedua-duanya didatangkan dengan jaminan dua tahun dan khidmat bantuan selama satu tahun.

GALERI: Piaggio Medley S 150 ABS


GALERI: Vespa S 125 i-GET