Perodua telah menganjurkan satu program motivasi, Perodua CEO Talk 2017 untuk membimbing 200 vendor dan pengedar automotif bumiputera Perodua menghadapi keadaan pasaran yang mencabar.

Program yang berlangsung selama satu hari ini telah menyaksikan lima tokoh korporat, usahawan yang berjaya dan tokoh motivasi berkongsi pengalaman serta nasihat dalam mengatasi pelbagai cabaran yang dihadapi terutama sekali dalam keadaan penguasaan pasaran kenderaan nasional di bawah 50%.

“Terdapat peningkatan dalam penguasaan pasaran jenama kenderaan nasional kepada 49.1% untuk 7 bulan pertama tahun ini berbanding 47.9% pada jangka masa yang sama tahun lepas. Akan tetapi angka ini masih lagi rendah untuk menampung ekosistem automotif tempatan,” ujar Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk (Dr) Aminar Rashid Salleh berkata.

Sambungnya lagi, program ini juga merupakan platform kepada vendor dan pengedar sah Perodua untuk berkongsi pendapat dan mencari jalan penyelesaian daripada mereka yang berpengalaman dalam bidang masing-masing.

Antara panel penyampai Perodua CEO Talk 2017 termasuklah Dato’ Dr. Haji Mohd Fadzilah Kamsah (personaliti TV dan pakar motivasi), Dato’ Hussamuddin Yaacub, Pengasas Karangkraf, Tuan Haji Ali Hassan, Pengasas Al-Ikhsan, Dato’ Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir, Timbalan Presiden Pemasaran, Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) dan Tan Sri Abdul Wahid Omar, Pengerusi Kumpulan, Permodalan Nasional Berhad (PNB).

“Kami percaya program seperti ini dapat memberi kesan yang mendalam kepada rakan niaga kami dan bercadang untuk meluaskan skop program ini kepada semua vendor dan pengedar sah kami di masa hadapan. Di Perodua, kami komited untuk 1,457 rakan niaga kami dalam ekosistem automotif negara. Daripada jumlah 1,457 ini, seramai 176 adalah vendor, 215 merupakan pengedar sah kami, 90 adalah kontraktor dan selebihnya adalah pembekal dan agensi-agensi yang dilantik,” tambah Aminar.

Katanya lagi, komitmen ini boleh dibuktikan dengan perbelanjaan RM2.9 juta antara tahun 2014 dan 2016 untuk program pembangunan vendor dan RM5.5 juta untuk pengedar sah Perodua.

Program CEO Talk 2017 telah dirasmikan oleh Pengerusi Perodua, Tan Sri Asmat Kamaludin dan turut dihadiri oleh beberapa agensi kerajaan berkaitan dengan agenda Bumiputera serta pihak pengurusan Perodua.