Syarikat pengeluar kenderaan elektrik baru Lucid Motors telah mengambil peluang untuk menyiarkan lebih banyak perincian berkenaan kereta sedan Air mereka semasa Monterey Car Week pada hujung minggu lalu. Turut dipamerkan adalah model Launch Edition yang akan menjadi 225 unit pertama.
Pertama sekali, syarikat tersebut telah mengesahkan bahawa Air akan mempunyai jarak gerak 640 km, pecutan 0-100 km/j dalam masa bawah 2.5 saat dan kelajuan maksimum sekurang-kurangnya 250 km/j. Jumlah ini adalah untuk model tertinggi, yang menggunakan motor elektrik berkembar, dengan pacuan semua roda dan sehingga 1,000 hp.
Terdapat juga sebuah lagi model asas yang menggunakan motor elektrik tunggal 400 hp, dengan pacuan roda belakang sahaja dan bateri yang lebih kecil – yang mampu membawa kenderaan ini untuk jarak 385 km. Sekiranya memilih bateri tahap pertengahan pula, pengguna akan mendapat jarak 505 km.
Barangan standard yang datang pada Lucid Air adalah termasuk lamu utama LED, rim 19 inci, lima tempat duduk, tempat duduk larasan kuasa 12 arah, empat skrin (tiga daripadanya adalah skrin sesentuh), 10 pembesar suara dan 10 beg udara. Pembeli juga akan mendapat ruang simpanan di bahagian depan dan belakang kenderaan, yang menjadikan keseluruhan ruangnya adalah 900 liter.
Selain daripada itu, barangan tambahan yang disedikan sebagai pilihan pula adalah rim 21 inci, bumbung panoramik dan tempat duduk larasan kuasa 22 arah dengan fungsi pemanas, liang udara, mengurut dan bonjolan dinamik. Turut termasuk dalam senarai adalah tempat duduk eksekutif boleh sandar di belakang, kemasan kulit tambahan, sistem bunyi 29 pembesar suara dan suspensi aktif sepenuhnya.
Model Launch Edition yang anda lihat ini diperlengkap dengan semua barang, dan datang dalam warna unik seperti kelabu gelap. Harganya tidak murah, iaitu lebih US$100,000 (RM428,000), tetapi bagi model asas, harganya bermula US$60,000 (RM256,800) sebelum cukai.
Tidak kira varian apa pun yang dipilih, Air tetap akan datang dengan “semua kelengkapan yang perlu untuk pemanduan autonomous,” termasuk kamera, radar dan pengesan lidar di sekeliling kenderaan. Ini membolehkan kenderaan dilengkapi dengan ciri Advanced Driver Assistance System (ADAS) secara terus, dan pergi pula ke pemanduan autonomous penuh apabila perisiannya dinaik taraf. Penghantaran Lucid Air akan bermula pada tahun 2019.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.