PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan laluan di plaza-plaza tol akan menjadi sesak bersempena dengan cuti dan perayaan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Raya Aidiladha. Bagi membantu melancarkan lagi perjalanan trafik dan mengurangkan kesesakan yang dijangka berlaku akibat orang ramai beratur di lorong-lorong Tambah Nilai di plaza tol, PLUS akan menutup sementara semua operasi Lorong Tambah Nilai tersebut.

Justeru, kesemua 134 Lorong Tambah Nilai di plaza tol di lebuh raya PLUS akan ditutup kepada pengguna mulai 29 Ogos hingga 4 September yang akan datang bersempena dengan cuti perayaan Sambutan Hari Kebangsaan dan cuti Hari Raya Aidiladha.

Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail berkata, “Secara puratanya, satu transaksi urusan tambah nilai boleh mencecah sehingga 3 minit untuk setiap kenderaan. Oleh itu, penutupan Lorong Tambah Nilai di plaza tol adalah amat perlu bagi mengelakkan kesesakan disebabkan oleh pengguna lebuh raya beratur untuk menambah nilai kad mereka pada musim perayaan ini,” jelas Azman.

Dalam masa yang sama, PLUS menasihatkan pengguna lebuh raya supaya memastikan kad mereka mempunyai baki yang mencukupi sebelum memasuki lebuh raya atau menambah nilai kad di 9,200 lokasi lain yang terdiri daripada mesin ATM, kedai serbaneka 24-jam, stesen-stesen minyak dan lain-lain lagi.

Langkah yang sama telah diambil oleh PLUS pada musim perayaan Hari Raya Aidilfitri dan cuti Tahun Baru Cina yang lalu.

“Berdasarkan pemerhatian dan kajian kami, langkah menutup sementara semua perkhidmatan Lorong Tambah Nilai pada musim perayaan yang lalu telah berjaya mengurangkan kesesakan di plaza tol. Justeru, kami akan menggunakan pendekatan yang sama pada musim perayaan ini dan perayaan yang akan datang,” jelas Azman.