Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Malaysia (MASOC) menyarankan orang ramai yang ingin ke upacara penutup Sukan SEA Ke-29 (KL2017) di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini agar menggunakan pengangkutan awam bagi mengelakkan kesesakan, lapor Bernama.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh jawatankuasa tersebut, stesen Transit Aliran Ringan (LRT) yang terdekat ialah LRT Bukit Jalil dengan pengguna disaran menggunakan kad Touch n Go untuk pembelian tiket bagi mengelak terperangkap dalam kesesakan selepas upacara itu tamat. Khas untuk perkara berkenaan, waktu operasi LRT Laluan Sri Petaling di Stesen Bukit Jalil akan dilanjutkan sehingga 2 pagi pada 31 Ogos ini.

MASOC juga berkata hanya penonton yang mempunyai tiket sah, kad jemputan dan pas akreditasi dengan pelekat khas sahaja yang dibenarkan masuk ke stadium. “Pemegang tiket diingatkan bahawa mereka tidak dibenarkan masuk semula ke dalam stadium sekiranya mereka keluar stadium,” kata kenyataan berkenaan.