Land Rover Experience Tour 2017 – uji pemanduan ala off-road, berpeluang menyertai ekspedisi di Peru

Land Rover Experience Tour 2017 – uji pemanduan ala off-road, berpeluang menyertai ekspedisi di Peru

Mulai hari ini sehingga 10 September 2017, Land Rover Malaysia menganjurkan acara Land Rover Experience Tour yang berlangsung di Waterfront, Desa Parkcity, Kuala Lumpur. Acara ini membuka peluang kepada orang ramai untuk menguji pemanduan secara ekstrem iaitu ala off-road dengan merentasi beberapa halangan yang disediakan.

Malah pemenang yang berjaya mendapat markah tertinggi dengan melepasi semua halangan juga akan dihantar untuk menyertai cabaran terakhir di peringkat akhir serantau yang bakal berlangsung di Laos. Jika berjaya menjadi pemenang peringkat serantau, individu terbabit berpeluang menyertai ekspedisi pemanduan lasak merentasi kawasan pergunungan di Peru, Amerika Selatan.

Menurut Land Rover Malaysia, acara ini tidak mengenakan sebarang bayaran, malah terbuka untuk sesiapa sahaja yang memiliki keyakinan tinggi waima tidak pernah mempunyai pengalaman memandu secara off-road.

Malah hari ini, kami juga berkesempatan untuk mencuba semua halangan yang disediakan dengan memandu Range Rover Evoque dan Land Rover Discovery Sport. Ia terbahagi kepada dua cabaran, iaitu cabaran pertama menampilkan dua aktiviti dengan memandu Evoque iaitu Ring Fence dan Auto Test. Bermula dengan Ring Fence, kami dikehendaki melakukan pusingan U di dalam bulatan, sebelum keluar semula ke jalan yang sama kami masuk.

Kedengarannya agak mudah, namun sekiranya terlanggar kon, penalti akan dikenakan. Dan jika lebih daripada tiga kon dilanggar, maka anda akan ‘tersingkir’ secara automatik, dan masa maksimum yang diberikan hanyalah sekitar empat minit untuk menyelesaikan cabaran ini.

Aktiviti kedua pula ialah Auto Test, yang nampak dari pandangan mata, adalah sukar untuk melakukannya. Begitu juga pada hakikatnya! Di mana kenderaan perlu dipandu melalui lorong yang agak sempit sebelum membelok ke sebelah kanan, kemudian berundur di lorong yang sama sehingga ke jalan masuk yang dilalui.

Bukan mudah untuk menentukan sudut yang paling sesuai untuk membelokkan kenderaan, jika terlanggar kon, penalti akan diberikan. Begitu juga dengan catatan masa, tidak boleh melebihi empat minit.

Cabaran kedua pula ialah meredahi halangan dengan memandu Discovery Sport yang terbukti hebat dengan memiliki rangkaian sistem off-road yang mengagumkan termasuk Terrain Response, Gradient Release Control, All-Terrain Progress Control dan Hill Descent Control. Halangan yang disediakan pula termasuklah melalui kawasan bercerun, merentasi laluan berair, berbukit serta bumpy course.

Sepanjang merentasi halangan ini, memang terasa ia begitu mencabar, namun perasaan takut dapat diatasi dengan bantuan daripada instruktor yang duduk di sebelah pemandu, serta panduan daripada instruktor di luar yang memberikan setiap isyarat bagi meneruskan pemanduan.

Jika anda mempunyai masa lapang esok mahu pun lusa, bolehlah mencuba aktviti ini atau pun sekadar menjadi penonton. Untuk menyertainya atau ingin mengetahui lebih lanjut mengenai acara ini, anda bolehlah melayari laman web rasmi Land Rover Malaysia.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required