Kepada mereka yang tinggal berdekatan atau kerap menggunakan Lebuh Raya Pantai (NPE), ini adalah satu maklumat penting. Ahad ini, 10 September, lebuh raya tersebut akan ditutup dari jam 2 pagi sehingga 11 pagi.

Ini adalah bagi memberi laluan kepada acara larian IJM Allianz Duo Highway Challenge yang akan diadakan pagi itu. Acara ini terdiri daripada dua pusingan, iaitu pusingan pertama berlangsung di Lebuh Raya Besraya Julai lalu, dan larian di NPE ini adalah pusingan kedua yang terbahagi kepada kategori 10 km dan 21 km.

Ia akan bermula dan tamat di Sunway Pyramid, dengan pusingan kembali dilakukan di Kuchai Lama. Selain lebuh raya itu sendiri, anda juga harus ingat, keadaan sekitar Sunway Pyramid juga mungkin sesak teruk kerana peserta akan meletakkan kenderaan mereka di kawasan tersebut. Jadi, jika ingin menikmati hari Ahad anda dengan tenang, elakkanlah jalan tersebut.