Pembinaan parkir bertingkat di sekitar kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Pantai, Kuala Lumpur, dalam peringkat cadangan, ujar Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (Ku Nan).

Katanya lagi, projek itu dijangka dilaksanakan dalam masa terdekat untuk menangani isu tempat parkir kereta serta menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas di kawasan terbabit. Ia juga adalah bagi memudahkan penghuni meletak kenderaan masing-masing dengan teratur, laporan Bernama.

“Buat masa ini, kita sedang jalankan kajian untuk melihat di mana tempat yang sesuai untuk laksanakan projek ini. Projek ini mampu menggandakan jumlah tempat letak kereta dan ini akan memudahkan penghuni meletakkan kenderaan mereka,” katanya.

Sambungnya lagi, walau pun parkir bertingkat di 12 kawasan PPR bakal dibina pada tahun ini dan tahun hadapan, pihak kerajaan juga bercadang untuk mewujudkan konsep “decking” yang beroperasi secara automatik dengan sistem sedia ada untuk lebih efisien dan pergerakan yang lebih mudah bagi kenderaan, seperti mana yang dipraktikkan di Jepun dan Korea.

Kajian yang dikendalikan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ini akan menggunakan PPR Kerinchi sebagai projek perintis untuk memudahkan aliran trafik dalam kawasan kepadatan penduduk tinggi, ujarnya lagi.