Video di atas bermula dengan ayat yang bermaksud “kemalangan boleh berlaku kepada sesiapa, dan bila-bila masa sahaja.” Ini memang benar, dan apabila perkara yang tidak diingini terjadi, kita tidak mahu alat yang sepatutnya dapat menyelematkan kita berpotensi membuat perkara sebaliknya. Yang dimaksudkan adalah inflator beg udara Takata, yang apabila meletup, boleh menghamburkan serpihan besi kepada pemandu atau penumpang.

Perkara ini boleh berlaku bukan sahaja dalam perlanggaran yang teruk, malah juga perlanggaran kecil. Ada yang telah meninggal dunia bukan kerana impak daripada perlanggaran, tetapi disebabkan serpihan besi taham yang tersembur keluar daripada beg udara tersebut.

Panggilan semula untuk menukar inflator beg udara Takata ini adalah yang terbesar pernah terjadi dalam industri automotif dan Toyota adalah antara yang menerima kesannya. Senarai kenderaan paling baru yang dipanggil untuk penukaran ini dikeluarkan pada bulan Mac tahun ini dan ia terdiri daripada 42,000 buah kenderaan yang merupakan model Corolla Altis, Vios, Yaris dan Alphard yang dikeluarkan antara Mei 2010 hingga Disember 2012.

Pada bulan Oktober 2016, UMWT telah memanggil semula 80,000 unit Vios, Corolla Altis, Yaris dan Alphard yang dikilangkan antara Oktober 2007 hingga Disember 2011 untuk penukaran beg udara. Kenderaan import persendirian juga termasuk dalam senarai.

Anda mahu memeriksa sekiranya kereta anda terlibat? Masukkan nombor VIN kenderaan anda di laman web ini, dan sekiranya perlu ditukar, anda boleh terus membuat tempahan di pusat servis yang dimahukan. Selain daripada itu, anda juga boleh menghubungi pusat servis Toyota atau terus ke sana.