UMW Toyota Motor (UMWT) telah mengumumkan panggilan balik bagi beg udara Takata telah diperluaskan, kali ini melibatkan beg udara penumpang hadapan. Secara keseluruhannya, sejumlah 42,000 unit Corolla Altis, Vios, Yaris dan Alphard, yang dikeluarkan antara Mei 2010 dan Disember 2012, terlibat.

Masalah berkenaan disebabkan oleh penyusutan bahan dorongan (propellant degradation) selepas terdedah dalam jangka masa lama terhadap kelembapan udara dan suhu. Inflator berkenaan mengandungi bahan daripada ammonium nitrate yang berupaya menyebabkan keretakan pada modul berkenaan. Jika ini terjadi, serpihan logam akan menembusi bahagian beg udara ketika ia menggelembung dan akan terhambur ke dalam kabin, mampu menyebabkan kecederaan atau kematian.

Penggantian beg udara ini akan mengambil masa antara satu hingga tiga jam dan semua kos berkenaan akan ditanggung oleh UMW Toyota. Syarikat ini juga akan meningkatkan usaha untuk memaklumkan kepada pemilik yang terlibat, walau bagaimana pun tidak semua pemilik akan dapat dihubungi terutamanya selepas kenderaan terbabit bertukar milik. Justeru, mana-mana individu yang menerima surat pemberitahuan ini, diminta untuk menghubungi mana-mana pusat servis bertauliah Toyota atau menelefon talian bebas tol Toyota di 1800-88-69682.

Pemilik juga boleh menyemak status untuk mengetahui adakah kenderaan mereka terlibat dengan melayari laman web Kempen Servis Istimewa Toyota, menggunakan pemeriksa Vehicle Identification Number (VIN). Aplikasi telefon pintar Toyota Drive juga mempunyai link untuk laman web dan pemeriksa terbabit.

Malah UMWT juga akan menyediakan booth untuk tujuan penukaran beg udara ini, di acara Toyota Go 2017 yang bakal berlangsung pada April dan Mei ini. Acara terbabit akan berlangsung di beberapa pusat membeli-belah termasuk AEON Mall di seluruh Malaysia.