Apabila ingin menunjukkan betapa kuatnya kereta mereka, syarikat pengeluar gemar membuat cabaran menarik objek berat. Land Rover juga tidak terkecuali, dan telah menyiarkan sebuah video yang menampilkan model Discovery terbaru mereka bersama lori treler bersambung 110 tan.
Di Australia, lori bersambung panjang ini digunakan untuk menghantar barang keperluan ke kawasan pedalaman di bahagian Outback, dan pernah ditampilkan dalam siri ke 22 Top Gear. Mengikut peraturan, lori bersambung ini tidak boleh melebih panjang 53.5 meter dan hanya boleh disambungkan dengan paling banyak, empat treler.
Walaubagaimanapun, satu kebenaran khas diberikan kepada Land Rover, untuk cabaran menggunakan Discovery ini, membolehkan mereka menarik lori 12 tan dengan tujuh treler. Setiap satunya mempunyai brek hidraulik. Cabaran ini dilakukan di Lebuh Raya Lasseter, Australia, yang ditutup buat sementara.
Menurut nombor rasmi yang dicatat, berat paling banyak yang boleh ditarik oleh Discovery Td6 ini adalah 3,500 kg. Jumlah ini adalah jauh berbeza dengan beban pada lori bersambung ini, yang mencatat 110 tan, termasuk pemberat 10 tan.
Discovery Td6 yang digunakan ini tidak diubah suai secara ekstrem, dan masih menggunakan enjin V6 3.0 liter turbo asal yang dipadankan dengan transmisi automatik lapan kelajuan, pacuan empat roda dan menghasilkan 285 PS dan 600 Nm. Satu bahagian yang pastinya ditambah adalah besi penarik yang digunakan untuk menyambungkannya kepada lori tersebut.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.