Jangan tipu diri sendiri dengan menggunakan klip pada cagak tali pinggang, penyebab tercampak keluar

Jangan tipu diri sendiri dengan menggunakan klip pada cagak tali pinggang, penyebab tercampak keluar

Beberapa hari yang lalu, negara dikejutkan dengan berita kemalangan ngeri di Lebuh Raya Seremban-Port Dickson, berhampiran Lukut, yang meragut nyawa seorang lelaki berusia 27 tahun. Gambar kemalangan tersebut cukup menakutkan untuk dilihat kerana mangsa tercampak keluar daripada kereta dan badan pula terputus dua.

Kami tidak ingin mengatakan apa-apa berkenaan bagaimana ia boleh berlaku, kerana hanya mereka yang menyaksikannya betul-betul di depan mata sahaja yang tahu. Tetapi, melihat kepada salah satu gambar kejadian – jika ia boleh dipercayai – iaitu gambar bahagian dalam, kami tidak boleh terlepas pandang pada bahagian cagak tali pinggang keledar.

Sekali lagi ingin dinyatakan, kami tidak menuduh apa-apa, tetapi ia membuatkan kami teringat kepada satu alat yang sangat mudah didapati di pasaran pada harga serendah RM10, sama ada secara atas talian atau di kedai aksesori, iaitu klip khas yang dimasukkan ke bahagian cagak tali pinggang tersebut.

Tujuan utama penggunaan klip ini adalah hanya untuk menutup bunyi amaran apabila tali pinggang keledar tidak dikenakan, dan badan pemandu (atau penumpang hadapan) bebas tanpa sebarang kekangan daripada tali pinggang keledar. Mungkin pengguna klip ini merasakan mereka bijak kerana dapat menipu sistem keselamatan, sedangkan sebenarnya yang mereka tipu adalah diri sendiri.

Sebabnya, apabila menggunakan klip ini, badan pemandu atau penumpang tidak dilindungi dengan tali pinggang, dan dalam kemalangan (yang ada kalanya tidak memerlukan kelajuan begitu tinggi pun), ia boleh membuatkan mereka tercampak keluar daripada kenderaan.

Kami sendiri pernah menyaksikan orang yang menggunakan klip ini, dan apabila dinasihati, mereka sekadar tersenyum. Memang, belum kena bolehlah senyum. Apa yang mereka tidak sedar, kemalangan ini boleh berlaku pada bila-bila masa sahaja, dan ada kalanya di luar kawalan kita. Selain klip ini, ada juga yang memasukkan tali pinggang keledar ke dalam cagak tersebut, tetapi tali itu diletakkan di belakang badan. Kesannya sama sahaja.

Oleh itu, jika anda ada mengenali sesiapa yang menggunakan klip ini, atau pelbagai cara lain untuk mengelakkan diri daripada dikekang dengan tali pinggang keledar, silalah nasihati mereka dan kongsikan peringatan ini. Sistem keselamatan dalam kenderaan disediakan jelasnya adalah untuk keselamatan kita, dan bukannya sengaja untuk menyusahkan.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required