Baru-baru ini Berita Harian telah membuat pendedahan mengenai kegagalan perkhidmatan TEKS1M yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tiga tahun yang lalu.

Menurut laporan terbabit, ramai pemandu TEKS1M mendakwa mata pencarian mereka terjejas kerana tambang yang lebih mahal berbanding teksi biasa, malah turut disisihkan pengusaha hotel yang menggunakan kereta lebih mewah sebagai teksi eksekutif selain perkhidmatan Grab dan Uber yang kian berleluasa.

Walau bagaimana pun, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) menolak dakwaan perkhidmatan TEKS1M gagal, kerana ia dikatakan masih di peringkat awal fasa pelaksanaannya.

Menurut SPAD, TEKS1M adalah penjenamaan semula teksi bermeter bagi mengubah dan menaikkan taraf perkhidmatan supaya lebih bermutu dan selesa.

Malah dalam masa yang sama, SPAD sedang menunggu kelulusan Kabinet untuk membenarkan lebih banyak model kenderaan dijadikan TEKS1M dalam usaha meningkatkan imej pengangkutan awam itu.

Ini kerana ketika peringkat awal pelancarannya, kerajaan hanya membenarkan penggunaan kenderaan pelbagai guna (MPV) Proton Exora, sebelum model itu ditambah kepada Toyota Innova. SPAD berkata, keputusan menambah lebih banyak model kenderaan dibuat berikutan maklum balas daripada pelbagai pihak, selain memudahkan migrasi kepada TEKS1M.

Ketika dilancarkan, kira-kira 2,000 teksi berhijrah kepada kenderaan TEKS1M. Walau bagaimana pun, timbul isu pengusaha individu tidak mampu menukar kenderaan kerana faktor pembelian, penyelenggaraan dan masalah teknikal lain. Kelonggaran ini dibuat bagi memudahkan migrasi ini.

Mengenai isu berkaitan tambang, SPAD berkata, kadar dan jarak masa ditetapkan adalah untuk menggalakkan perubahan kepada kenderaan dan perkhidmatan yang lebih baik kepada pengguna.